Puan Penulis




Followers

Official FB Group

Official Page

Muhammad Qayl Sufi

Lilypie Angel and Memorial tickers

Kutemui Cinta (2010)

Kutemui Cinta (2010)
klik gambar untuk beli on9

Abang Khai Tomboi (2011)

Abang Khai Tomboi (2011)
PM FP untuk pembelian

Amar Farish (2012)

Amar Farish (2012)
klik gambar untuk beli on9

Zikir Cinta (2014)

Zikir Cinta (2014)
klik gambar untuk beli on9

Melodi Cinta (2015)

Melodi Cinta (2015)
Himpunan cerpen & mini novel

KhaiRizal : A Love Story (2015)

KhaiRizal : A Love Story (2015)
klik gambar untuk beli on9

Kau Bidadariku...

Kau Bidadariku...
manuskrip yang akan diperam. takkan diterbitkan dalam masa terdekat

No Highlight. Left click + ctrl to open new tab

Tuan tanah kedaung

Assalamualaikum and hi. I'm Nuraqilah Syuhaida a.k.a E-la Adiey :)

Love pastel | Love cosmetics | Love clothes | Unicorn & Mermaid freaks

I'm just planning, putting faith in Allah SWT ;)

Thursday, April 30, 2015

Kau Bidadariku... 16

“TENGAH hari nanti ibu ada hal dengan kawan-kawan ibu. Adrian tolong ibu, boleh?”

            Adrian yang leka menikmati sarapan pada pagi itu mengangkat muka.

            “Tolong apa, bu?”

            “Tolong hantarkan makanan tengah hari untuk Nadya ke butik.”

            Adrian terpempan. Beberapa hari yang lalu dia sudah ke Butik NADYA’S menemani Puan Sri Azila. Dan hari ini… lagi sekali? Tanpa Puan Sri Azila?

            “Hantarkan makanan aja, lepas tu Adrian baliklah,” tokok Puan Sri Azila apabila anaknya tidak memberi sebarang respons.

            Adrian diam berfikir. Perlukah dia mengikut arahan itu? Berjumpa secara berduaan dengan isteri orang? Aduh…

            “Tak perlulah, Zila. Nadya bukan tak biasa makan sendiri. Nanti dia pandai-pandailah cari,” sampuk Tan Sri Jamaluddin yang leka membaca akhbar New Straits Times. Dia seakan-akan memahami apa yang bergelodak di hati anaknya itu.

            “Abang memanglah… bukannya nak ambil tahu pasal Nadya. Mentang-mentanglah dia tak jadi menantu rasmi dalam rumah ni!” Puan Sri Azila tarik muncung.

            Adrian mengerling wajah ibunya lewat ekor mata. Amboi, sebegitu sayangkah ibunya pada Nadya?

            “Eh Zila ni, kesitu pulak dia. Bukan itu maksud abang. Kalau Zila concern pasal Nadya, Zila bawalah makanan tu sendiri. Kenapa nak suruh Adrian? Anak kita ni lelaki, bujang lagi. Takut kalau-kalau timbul fitnah kalau peniaga-peniaga kat situ nampak,” hujah Tan Sri Jamaluddin menyatakan pendiriannya.

            Puan Sri Azila gigit bibir. Betul juga kata suaminya, tapi dia memang benar-benar ada perkara yang perlu dibereskan tengah hari ini. Perjumpaan dengan kawan-kawannya a.k.a geng-geng main duit kutu dikala kebosanan. Pemandu peribadinya pula sedang bercuti untuk beberapa minggu kerana pergi menunaikan umrah bersama keluarga.

            “Kalau ibu nak Adrian hantarkan, boleh. Tapi awal sikitlah. Waktu makan tengah hari biasanya dah tak ada orang, tak manis jumpa berdua aja. Adrian boleh pergi sejam sebelum tu.”

            “Betul ke? Tak rasa awal sangat? Jarak rumah ni dengan ofis bukannya dekat,” soal Puan Sri Azila pula.

            “Boleh, ibu. Jangan risau.” Adrian menjawab pendek. Dia boleh keluar masuk pejabat sesuka hati selagi tidak menjejaskan jadual kerjanya.

            “Okeylah, Adrian gerak dulu. Nanti ibu masak siap-siap. Adrian datang ambil makanan. Adrian pergi dulu. Assalamualaikum.”

            Sebaik menyalami kedua ibu bapanya, Adrian terus mencapai briefcase yang diletakkan di atas kerusi disebelah dan terus berlalu. Tidak lama selepas itu kedengaran enjin kereta Adrian menderum meninggalkan perkarangan banglo mewah mereka.

            “Adrian memang anak yang baik ya, bang. Mendengar kata. Sepanjang dia tinggal dengan kita, belum pernah sekali pun dia kata ‘tak nak’ atau ‘tidak’ pada setiap permintaan Zila,” puji Puan Sri Azila sambil menuang kopi panas ke dalam cawannya.

            Sungguh dia merasa bertuah memiliki anak seperti Adrian. Terima kasih kepada Jamal dan arwah Sophia yang memberi didikan sempurna kepada anak mereka.

            Meski pernah terselit rasa tidak puas hati kepada Jamal dan Sophia yang menukar nama Hafizuddin kepada Hafiz Adrian, namun kini dia sudah mampu menerimanya. Melihat Adrian yang baik, pendiam, patuh pada ibu bapa dan punya ilmu agama, Puan Sri Azila sudah tidak peduli tentang nama. Adrian pun Adrian lah…

            “Adrian memang anak yang baik. Abang tak nafikan…” tutur Tan Sri Jamaluddin setelah agak lama mendiamkan diri.

            “Tapi abang harap Zila pun hati-hati. Jangan bagi Adrian tu rapat sangat dengan Nadya…” sambungnya seraya melipat surat khabar di tangan.

            “Maksud abang?” Puan Sri Azila mengerdip-ngerdipkan kelopak mata.

            Tan Sri Jamaluddin tidak terus menjawab. Dia mencapai tangkai cawan dan menghirup kopi panasnya sebelum bersuara.

            “Abang cuma takut Adam tu tak suka. Dia suami Nadya. Takut juga dia salah faham dan cemburu dengan Adrian…”

            “Kenapa Adam nak cemburu dengan Adrian?” Puan Sri Azila belum mengerti.

            “Adrian dan Nadya tu bukan mahram. Dan lagipun, takkan Zila tak nampak? Muka Adrian tu saling tak tumpah macam arwah Hafiz. Tak takut kalau-kalau Nadya teringat balik bekas tunangnya tu?”

            Pecah ketawa Puan Sri Azila mendengar andaian suaminya.

            “Mustahillah. Walaupun muka sama, tapi perangai lain. Hafiz banyak cakap, ada je modal nak bersembang. Adrian pulak pendiam. Mustahil tengok muka aja dah terimbau balik kenangan lama. Ni bukan drama petanglah, bang!”

            Puan Sri Azila tergeleng-geleng sambil ketawa. Baginya itu memang sesuatu yang tidak masuk akal. Dia sendiri pun tidak meminta Nadya dan Adrian untuk berkawan rapat. Cukuplah sekadar hubungan mereka tidak terlalu formal. Dia pasti Nadya tahu batas-batas yang perlu dijaga selaku seorang isteri.

            Apalah salahnya kalau hubungan yang jauh itu didekatkan. Sekurang-kurangnya apabila kerap berjumpa, tidaklah terasa kekok dan kurang selesa.

            “Suka hati awaklah, Zila. Jangan cakap abang tak bagi nasihat pulak.” Tan Sri Jamaluddin mengeluh dihujung suara. Dia menghabiskan sisa-sisa kopi didalam cawannya dan terus melangkah pergi untuk ke pejabatnya pula.

            Puan Sri Azila mencebik. Alah, kenapa nak risau sangat? Takkan jadi apa-apalah!
************************

GAMBAR-GAMBAR ditangannya diramas dan dikeronyok sepuas-puas hati. Wajahnya tegang sehingga menampakkan urat-urat didahi dan leher. Dadanya pula sudah berombak kencang menahan rasa cemburu dan geram yang sudah membarah didalam diri.

            “Cik Yasmin, cik nak koyak gambar tu ke, nak kunyah sampai hancur ke, itu cik punya pasallah. Sekarang saya nak payment saya. Saya nak pakai duit ni!”

            Yasmin menjeling tajam. Huh, boleh tahan juga penyiasat yang diupahnya itu. Asyik fikir duit aja. Tapi nasib baik bagus buat kerja. Baru beberapa hari dia menyuruh penyiasat yang digelar Jay itu mencari lokasi dan info tentang Nadya, hari ini Jay sudah berjaya mengumpulkan semuanya.

            “Ambil ni dulu, RM20 ribu. Tapi I nak you terus perhatikan perempuan ni. I nak tahu apa dia buat, jadual kerjanya, keluar dengan siapa, semua-semualah!”

            Jay tersengih-sengih menyambut sekeping cek yang dihulur oleh Yasmin. Bait-bait tulisan yang tertera di atas cek ditilik untuk seketika. Setelah berpuas hati barulah cek itu disimpan kemas didalam jaket kulit hitamnya.

            “Okey, tak ada masalah. Ada upah, kerja apa pun saya buat.”
            Yasmin memandang dengan riak sinis.
            “Hmmm… itu aja buat masa sekarang. You boleh pergi.”

            Jay terus beredar dari bilik ofis Yasmin dengan muka yang puas. Senangnya cari rezeki dengan cara begini. Hanya perlu perhatikan orang, dah dapat upah 20 ribu ringgit.

            Yasmin mendengus melihat gambar wajah Nadya yang diambil secara curi-curi oleh Jay itu. Kata Jay, Nadya sudah memiliki butik sendiri. Dan Yasmin sendiri dapat melihat, Nadya yang sekarang bukan lagi Nadya yang dikenali semasa menuntut di Universiti Malaya dulu. Nadya semakin cantik dan pandai bergaya meskipun kekal dengan imejnya yang bertudung litup.

            Patutlah Adam tu sayang sangat. Ugly duckling dah jadi swan rupanya!

            Matanya dipejam sambil bersandar ke kerusi. Api cemburunya semakin menyala. Nadya memang beruntung. Dia kini memiliki kecantikan, bisnes sendiri dan… Adam.

            Senyuman Adam kembali menerpa ruang minda. Yasmin dilanda debaran lagi. Mengingati lelaki itu, hatinya semakin tak keruan. Yasmin sudah cuba untuk menafikan perasaan, namun setiap kali dia cuba menidakkan, nama Adam semakin menyeliputi ruang fikiran.

            Aku mahu Adam. Aku tak mahu lelaki lain! tekad hatinya.

            Tak salah kalau dia jatuh cinta pada suami orang. Adam lebih dari mampu. Dia sedar ramai lelaki bujang yang cuma mendekati dirinya. Tetapi mereka semua tidak menarik perhatiannya. Dia tidak mahu sesuatu yang tertadah didepan mata. Dia mahu lelaki seperti Adam; lelaki yang tidak memburunya, sebaliknya dia yang memburu!
****************************

“KAK NADYA, ada orang nak jumpa.”

            Nadya yang sedang tekun membuat lakaran design baju terus mengangkat muka ke arah Lily yang terjengul di muka pintu.

            “Siapa?”

            Lily angkat bahu. “Entah, tapi katanya dia anak Puan Sri Azila.”

            Terentang kerutan di wajah Nadya. Adrian?

            “Okey, terima kasih Lily.”

            Lily mengangguk sahaja dan duduk kembali di kaunter melakukan kerjanya. Nadya terus meletakkan pensil dan buku lakarannya nya lalu melangkah keluar mendapatkan Adrian yang sedang menantinya di sofa pelanggan di ruang hadapan.

            “Assalamualaikum, Encik Adrian.”

            Adrian menoleh dan terus berdiri.

            “Waalaikumussalam. Err… saya mengganggu awak ke?”

            “Tak. Ada apa ya?”

            “Oh, ini. Saya bawakan makanan tengah hari. Ibu saya pesan suruh bawa untuk awak. Dia tak dapat hantar sendiri sebab ada hal.”

            Nadya kaget seketika melihat bekas plastik yang dihulurkan oleh Adrian.

            “Ya Allah, kenapa ibu susah-susah masak? Kalau nak makan saya boleh turun foodcourt.”

            “Rezeki untuk hari ni. Ibu saya dah anggap awak macam anak dia sendiri, jadi tak ada salahnya kalau dia ambil berat tentang anak dia,” jawab Adrian bersahaja.

            Nadya turut menguntumkan senyuman, terharu kerana layanan Puan Sri Azila tidak berubah meskipun ibu angkatnya itu kini sudah memiliki anak kandungnya sendiri.

            “Terima kasih, Encik Adrian.” Bekas makanan itu disambutnya dengan hati yang berbunga-bunga gembira.

            Sebelum ini pun memang Puan Sri Azila sering juga datang membawa makanan dari rumah dan mengajaknya makan bersama. Kalau sibuk, Puan Sri Azila akan meminta pemandunya untuk menghantarkan makanan. Cuma dia tidak menyangka pula kali ini ibu angkatnya itu menyuruh Adrian.

            “Okeylah, tu je. Saya nak kena balik ofis dulu. Selamat menjamu selera.”

            Adrian menundukkan sedikit kepala tanda pamit.

            “Encik Adrian.”

            “Ya, saya?”

            “Dalam dua, tiga hari lagi boleh encik datang semula ke sini? Saya nak kirimkan makanan untuk ibu, selain tu nak pulangkan balik bekas ni.”

            Adrian mengangguk. “Boleh, tak ada masalah.”

            Dia mengeluarkan kad bisnesnya dari dompet dan dihulurkan kepada Nadya.

            “Ada nombor telefon saya kat sini. Kalau ada apa-apa boleh call number ni. Oh ya, dan lagi situ… tak perlulah awak berencik-encik dengan saya. Kan ibu tak suka.”

            Nadya tersenyum sumbing. Oh… dia terlupa tentang permintaan Puan Sri Azila beberapa hari yang lalu itu. Hmm… patutlah hari ini dia perasankan sesuatu yang lain. Adrian tidak memanggilnya ‘Puan Nadya’ seperti selalu.

            “Baik, maaf… Adrian.” Entah kenapa, terasa berat dan kekok untuk menyebutnya. Dia terpaksa demi menjaga hati Puan Sri Azila.

            Adrian sekadar membalas dengan sekuntum senyuman. Dia menjeling jam tangannya yang menunjukkan pukul 11.10 pagi.

            “Okey, saya pergi dulu ya. Assalamualaikum.”
            “Waalaikumussalam…”

            Nadya mengiringi Adrian keluar dari butik. Dia tersenyum sendiri melihat bekas makanan yang kini berada di tangannya. Bertuah ibu angkatnya itu memiliki anak yang patuh seperti Adrian. Walaupun ada perniagaan sendiri, sudah memiliki segala-galanya dengan hasil usaha sendiri, tetapi lelaki itu tetap ikut sahaja apa pun arahan ibunya.

            “Apa tu, kak? Macam sedap je?” usik Lily.

            Nadya membuka beg plastik dan menghidu makanan dari bekas tersebut.

            “Hmm… bau macam ikan goreng dengan gulai. Kita makan sama-sama nanti, ya? Lily jangan pergi foodcourt pulak!”

            Lily ketawa sambil menggaru-garu kepala.

            “Eh, boleh ke kak? Kan Puan Sri bawa makanan untuk akak.”

            “Ish, apa pulak tak boleh? Makanan ni mesti banyak, akak tak larat nak habiskan semua sendiri. Makan dengan akak, ek? Ek? Ek?”

            Lily tergelak lantas mengangguk dengan wajah tersipu-sipu.

            “Oh ya, kak. Lelaki tadi tu siapa, ek? Dia cakap dia anak Puan Sri Azila, tapi saya tak pernah nampak dia datang sini pun,” soal Lily agak penasaran.

            Nadya mengulum senyuman. Bagaimana harus dia ceritakan segalanya kepada Lily? Semuanya terlalu kompleks.

            “Akak cerita masa makan tengah hari nantilah. Sekarang akak nak buat kerja dulu,” ujar Nadya kemudiannya.

            Lily mengangguk. Hanya bola matanya yang memerhati susuk tubuh majikannya itu sehingga hilang disebalik bilik ofis kecil di ruang belakang.

            Dan tanpa mereka sedari, ada sepasang mata yang sudah memerhati dan merakam segala pergerakan mereka sejak pagi tadi. Manusia yang tidak dikenali itu menundukkan kepala, mengelak wajahnya dilihat oleh sesiapa pun. Namun kamera bersaiz mini yang digunakannya untuk mengintip berada di tangan setiap masa. 

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

Tuesday, April 28, 2015

Kau Bidadariku... 15

JARUM jam sudah pun bergerak ke angka 12.00 tengah hari. Matahari semakin menyengat kepanasan dengan sinar cahayanya yang menyilaukan. Lily sudah keluar untuk makan tengah hari di medan selera pusat membeli-belah tersebut. Nadya pula hanya duduk di butik sambil menguruskan stok-stok baju yang ditempah melalui online. Kesemuanya harus dihantar ke pejabat pos pada petang ini. Kesibukannya dengan hal-hal butik membuatkan dia tidak terasa lapar.

            Ketika dia tekun mengemaskan baju-baju yang sudah siap diletakkan didalam paket plastik Pos Laju, bunyi loceng pintu butik menendang pendengarannya. Dia bergegas keluar untuk meninjau ke ruang hadapan.

            “Maaf ya, sekarang waktu re…” Suaranya tersekat disitu tatkala melihat Puan Sri Azila tercegat di pintu masuk. Bibirnya serta-merta mengukir senyuman.

            “Assalamualaikum, Nadya. Sibuk ke?”

            Nadya menggeleng. Dia terus mendapatkan ibu angkatnya itu. Mereka berdua saling bersalaman dan berpelukan.

            “Waalaikumussalam. Tak sibuk manalah, ibu. Mari duduk.”

            Nadya mempelawa Puan Sri Azila duduk di sofa. Namun dia agak kaget tatkala melihat wajah Adrian yang berdiri tidak jauh dari situ. Lelaki yang segak memakai sut pejabat itu sekadar berdiri sambil menghulurkan senyuman.

            Nadya membalas seadanya. Sangkanya Puan Sri Azila datang bersendirian seperti selalu.

            “Ibu ajak Adrian teman ibu ke sini. Boring jugak asyik datang sorang. Lagipun apa salahnya kalau ibu nak perkenalkan Nadya dengan Adrian dengan lebih rapat, kan? Dua-dua pun anak ibu, jadi korang kenalah berkawan. Hehehe…” ujar Puan Sri Azila dengan ceria.

            Nadya tersengih sumbing. Anak matanya sempat melirik pada Adrian yang tampak bersahaja. Lelaki itu kelihatan tenang seperti selalu.

            Pada telahan Nadya, Adrian ini bukan macam arwah Hafiz. Adrian agak pendiam, tapi Hafiz pula peramah. Bila terlalu diam dan tenang, Nadya pula yang terasa kekok. Takut Adrian tidak selesa. Selalunya orang pendiam ni jarang menunjukkan perasaan sebenar.

            “Duduklah, Encik Adrian.” Nadya mempelawa sopan.

            Adrian sekadar membalas dengan anggukan. Dia mengambil tempat duduk disebelah ibunya yang kelihatan sibuk menyusun mangkuk tingkat yang dibawanya.

            “Ibu bawa apa ni?” Nadya membenamkan punggung ke sofa.

            “Makanan tengah hari dari rumah. Ada nasi, ikan goreng, sup sayur… macam-macamlah. Nasib baik Nadya ada, ingatkan dah keluar makan tadi. Ibu lambat sikit sebab jalan jam kat luar tadi,” terang Puan Sri Azila.

            “Oh, kenapa ibu tak call dulu tadi?”

            “Saja nak buat surprise kat Nadya. Hehe… sorry ibu dah lama tak datang. Ibu busy sikit. Maklumlah, baru jumpa semula dengan Adrian.”

            Nadya melontarkan tawa halusnya.

            “Tak apalah, bu. Nadya faham,” ucapnya pula sambil membantu Puan Sri Azila menyusun makanan yang dibawa ke atas meja.

            “Pinggan dengan sudu ada tak, Nadya? Ibu lupa pulak nak bawa tadi.”

            “Oh, ada kat dalam ofis. Kejap Nadya ambilkan.”

            Nadya ingin bangun namun Puan Sri Azila cepat-cepat menegah.

            “Tak apalah, Nadya susun makanan aja. Biar ibu ambilkan.”

            Puan Sri Azila segera bangun dan melangkah ke pejabat mini Nadya di bahagian belakang.

            “Biar saya tolong.”

            Nadya agak terkejut apabila Adrian mula bersuara. Lelaki itu mengambil alih tugas Puan Sri Azila menyusun makanan di atas meja. Nadya terasa canggung dan sedikit serba-salah.

            Kenapa dengan mamat ni agaknya? Kenapa jarang bercakap? Agak-agak dia okey ke datang sini? Ke datang sebab ibu ajak je? Mesti dia tak selesa sebab dia bukannya kenal aku pun, Nadya berbisik sendiri didalam hati. Peribadi Adrian yang terlalu ‘cool’ itu sedikit sebanyak merimaskannya. Nak ajak bersembang pun susah.

            “Encik Adrian okey ke datang sini? Tak sibuk dengan kerja dekat ofis?” Nadya memberanikan diri untuk memulakan arena perbualan. Sampai bila nak senyap?

            “Sekarang kan waktu lunch. Lagipun saya bos, waktu kerja tak terikat sangat,” jawab Adrian tenang.

            Nadya senyum herot. Adam pun ada syarikat sendiri, tapi mereka jarang punya waktu untuk makan tengah hari bersama. Hmm… Adrian anak yang baik. Nadya yakin Adrian ke sini hanya untuk menemani ibu kesayangannya.

            Adrian memandang wajah Nadya untuk seketika. Ini pertemuan kali keduanya dengan wanita itu. Cuma kalau dulu, dia hanya menganggap Nadya sebagai isteri kepada Adam tetapi sekarang tanggapannya sudah sedikit berbeza selepas mengetahui wanita itu juga punya kisah silam dengan kembarnya.

            Dia tidak terkejut sekiranya arwah Hafiz terpikat pada Nadya. Dia lihat Nadya bukan sahaja hampir sempurna paras rupanya, tetapi juga lemah-lembut dan pandai mengambil hati orang tua. Patutlah Puan Sri Azila pun sayang pada dia.

            Tapi Adrian yakin, kalau Puan Sri Azila bertemu dengan arwah Jessica, ibunya juga pasti akan menyukai gadis Indonesia itu. Meskipun Jessica tidaklah selembut dan sejelita Nadya, namun gadis yang berasal dari Surabaya itu punya daya tarikannya yang tersendiri. Cinta yang sudah sekian lama dipupuk buat gadis itu membuatkan dirinya tidak mampu memandang wanita lain.

            “Assalamualaikum…” Ada satu suara garau memberi salam. Dia dan Nadya menoleh hampir serentak ke muka pintu.

            “Encik Adrian?” Adam terkejut melihat Adrian berada di butik isterinya.

            Adam mengetap gigi. Hatinya diterpa rasa cemburu melihat Nadya berdua-duaan bersama lelaki itu.

            “Abang, kenapa abang tak beritahu nak datang?” Lembut suara Nadya menujah telinganya.

            Namun belumpun sempat dia menjawab, retinanya menangkap kelibat Puan Sri Azila yang baru muncul dari ruang belakang membawa beberapa biji pinggan dan sudu.

            “Eh, Adam? Larh… Nadya dah janji nak date berdua dengan Adam ke?” Puan Sri Azila terkesima seketika.

            “Tak adalah, mak cik. Saya datang tak beritahu Nadya pun. Saja nak buat surprise. Tak sangka ada tetamu hari ni!” ujar Adam cepat-cepat mengawal emosi. Dadanya sedikit lega melihat Puan Sri Azila turut berada di situ. Nasib baik dia belum bersangka bukan-bukan terhadap Nadya dan Adrian.

            “Mak cik pun tak bagitahu Nadya nak datang. Mak cik selalu datang sini naik teksi, malas nak drive sendiri. So hari ni Adrian temankan mak cik, dia yang jadi driver mak cik hari ni.” Puan Sri Azila berseloroh.

            Adam tersenyum sahaja, namun riak wajah Nadya jelas serba-salah melihat suaminya juga membawa bungkusan makanan. Biasanya Adam keluar makan tengah hari bersama Yusof atau Azriel. Tak sangka pula Adam ingin membuat kejutan untuknya hari ini.

            “Kalau macam tu kita semua makan sekali jelah.” Adrian yang diam sahaja sedari tadi mengusulkan gagasan, membuatkan masing-masing yang sempat terkaku beberapa ketika kembali ke dunia nyata.

            “Saya ada beli makanan dari Marrybrown. Rezeki untuk semua oranglah hari ni. Nasib baik saya ada beli lebih,” ujar Adam tersenyum ikhlas. Mungkin bukan rezekinya untuk berdua-duaan bersama isteri tersayang tengah hari ini. Tak apalah, mungkin ini peluangnya untuk berkenalan lebih dekat dengan Adrian.

            Sementara Puan Sri Azila dan Adrian membantu menghidangkan makanan yang dibawa oleh Adam, Adam pula berlalu ke belakang sebentar untuk mengambil pinggan lebih. Nadya cepat-cepat mengekori suaminya.

            “Abang.”
            “Yes, angel?”
            “Abang marah Nadya ke?”
            Adam mengangkat sebelah keningnya.
            “Kenapa tanya macam tu?”

            “Yalah, takut abang tak suka ibu dengan Adrian ada kat sini. Kenapa abang tak beritahu abang nak datang? Abang cakap ada urusan dengan Yasmin, kan? Dah settle ke semua?”

            “Dah settle dah. Abang okey jelah. Apa salahnya diorang datang? Lagipun Nadya bukan berdua-duaan dengan Adrian, kan?” tutur Adam dengan senyuman yang terhias di bibir.

            Nadya terdiam. Adam mengusap-usap pipi isterinya.

            “Dahlah, kita cakap kat rumah nanti. Jom keluar, kita makan dengan diorang.”

            Nadya mengangguk perlahan. Dan pada hari itu, mereka berempat menikmati makanan tengah hari bersama di butik tersebut. Mulut Puan Sri Azila tidak habis-habis berceloteh. Masing-masing hanya menadah telinga. Nadya cukup senang melihat ibu angkatnya itu kini sudah kembali ceria. Terima kasih kepada Adrian yang sudah memberi sinar hidup baru kepada kedua orang tua kandungnya.

            “Encik Adrian, sikit je makan. Diet ke?” Adam menegur. Adrian orang pertama yang menghabiskan nasi didalam pinggannya.

            “Saya memang makan banyak ni je,” beritahu Adrian jujur.

            Adam tertawa halus lalu menghulurkan ais-krim jeli didalam satu beg plastik Marrybrown yang belum dibuka.

            “Makanlah ni, pencuci mulut.”

            “Err… thanks.” Adrian menyambut sahaja tanpa banyak tanya. Orang memberi, kita merasa. Orang berbudi, kita berbahasa. Rezeki depan mata, takkan nak tolak. Hehe…

            “Sayang, meh makan ais-krim sundae dengan abang.” Adam mengambil satu lagi beg plastik dan mengeluarkan pencuci mulutnya pula.

            Adrian melirik. Sambil membuka bekas plastik ais-krim jeli, dia memerhati sahaja tingkah pasangan suami isteri itu. Adam menyuapkan ais-krim ke mulut Nadya dan mengesat sisa makanan yang terlekat di tepi bibir isterinya dengan jari.

            Sweet, getus Adrian tersenyum dalam hati. Melihat Adam dan Nadya, dia teringatkan Daniel dan Cinta. Bertahun-tahun sudah mendirikan rumah tangga, tetapi romantis seperti pasangan bercinta.

            Adrian tahu, cinta yang halal itu memang indah, lebih-lebih lagi apabila kita hidup bersama orang yang kita cintai. Bohong kalau dia sedikitpun tidak terasa cemburu mahupun kesunyian tanpa teman hidup, tetapi hatinya sudah dibiasakan dengan semua ini.

            “Hish, korang ni buat ibu jealouslah. Tiba-tiba ibu rasa rindu kat ayah!” sakat Puan Sri Azila melihat kemesraan Adam dan Nadya.

            Wajah Nadya berona kemerahan. Adam tergelak besar. Adrian pula seperti biasa, sekadar memalitkan senyuman.

            “Mak cik trylah call pak cik kat ofis tu. Mana tahu pak cik pun tengah rindu kat mak cik sekarang,” seloroh Adam pula.

            “Tak ada maknanya, Adam. Entah-entah nanti dia cakap mak cik buang tebiat!” Puan Sri Azila ketawa.

            Adam turut tertawa. Dia menjeling sekilas pada Adrian yang diam membisu sahaja. Lelaki itu kalau tidak diajak bercakap, memang suaranya tidak akan keluar.

            “Hah, Encik Adrian nanti masuk ofis balik pukul berapa? Waktu lunch dah nak habis ni.” Adam buat-buat bertanya sambil melihat jam pada pergelangan tangannya.

            “Itukan company saya, jadi tak payah patuh sangat tentang jadual. Lagipun schedule saya tak padat hari ni,” terang Adrian lurus. Wajahnya serius seperti sedang memberitahu sesuatu yang sangat penting.

            Tersengih-sengih Adam mendengarnya. Hmm… aku bercakap dalam nada bergurau, cara kau jawab macam aku tanya masalah negara. Kau ni tak ada sense of humor langsung ke apa? desis Adam sendiri.

            “Haih, ibu ni nak tegur pun serba-salah. Tapi ibu rasa ibu nak cakap jugaklah,” sampuk Puan Sri Azila. Pinggan nasinya yang sudah kosong itu diletakkan di atas meja.

            “Ibu anggap Adrian, Nadya dan Adam semua macam anak-anak ibu. Ibu tak berapa sukalah dengar korang berencik-encik, berpuan-puan ni. Formal sangat. Panggil nama je tak boleh ke?”

          Mata Adrian berkalih ke arah pasangan suami isteri yang tersengih sumbing itu.

            “Bukannya apa, bu. Kami kan belum kenal rapat. Nadya dengan Adam pun baru lagi jumpa dengan Encik Adrian…” Nadya menjelaskan, namun Puan Sri Azila cepat-cepat memintas.

            “Habis tu kalau berencik-encik ni akan jadi rapat ke? Kata panggilan tu akan jadi tembok pemisah antara korang. Panggil nama je cukup!” ujar wanita itu lembut namun tegas.

            Nadya serba-salah. Dilihatnya Adrian biasa-biasa sahaja, tidak menunjukkan respons pada permintaan Puan Sri Azila.

            Adam sudah angkat kening. Dia suruh Adrian rapat dengan bini aku ke? Motif?

            “Adrian dengan Adam pun sama. Tak payah encik-encik, berbulu telinga mendengarnya.”

            Adam tersenyum simpul. Kepalanya perlahan-lahan dianggukkan.

            “Boleh ke, Encik Adrian?” Adam bertanya kepada Adrian meminta kepastian.

            “Ish, tak nak dengar encik-encik lagi!” tekan Puan Sri Azila mengerutkan kening, sengaja menggunakan kaedah ini agar hubungan mereka lebih rapat. Nadya dan Adam juga anak-anaknya, jadi automatik Adam dan Nadya adalah adik-beradik angkat Adrian.

            Adam ketawa seraya angkat tangan tanda menyerah.

            “Boleh, tak ada masalah,” sahut Adrian dengan senyuman yang terhias ditepi bibir. Seperti biasa, dia memang tidak akan membantah kata-kata ibunya.

            Namun lain pula halnya dengan Adam. Pada zahirnya dia tersenyum, namun dalam hati punya sedikit rasa tidak puas hati dengan permintaan Puan Sri Azila tadi.

            Puan Sri Azila mahu dia berkawan dengan Adrian, dia tiada masalah. Malah inilah yang dinanti-nantinya; berkawan dengan orang yang berwajah persis Hafiz. Sekurang-kurangnya terubat sedikit rasa rindu yang sudah sekian lama bergelut di kolam hati terhadap sahabat lamanya itu.

            Tapi… Adrian dengan Nadya? Tidak. Tidak mungkin dia akan membenarkan. Melihat Adrian dan Nadya duduk berdua tadi pun hatinya sudah dibelit rasa cemburu, inikan pula jika dia melihat isterinya berkawan dengan lelaki itu.

            Adrian itu wajahnya sangat mirip dengan Hafiz dan dia takut seandainya kemiripan itu membuatkan Nadya kembali mengimbau nostalgia lama dan jatuh hati dalam diam terhadap Adrian. Dia benar-benar takut jika perkara itu menjadi realiti!
*************************

NADYA meraup wajah selesai berwirid untuk beberapa ketika usai menunaikan solat Isyak. Selepas menanggalkan kain telekung dan menyangkutnya dengan cermat pada tempat penyidai, dia melangkah keluar ke ruang tamu.

            “Abang.” Nadya menegur Adam yang dilihatnya tekun dengan kertas kerja. Suaminya itu sudah solat diawal waktu tadi.

            “Banyak kerja? Nak Nadya buatkan air?”

            Adam melemparkan senyuman manis sambil menepuk-nepuk tempat duduk disebelahnya.

            “Tak perlulah. Mari duduk sini, teman abang buat kerja.”

            Nadya menurut. Dia terus melabuhkan punggung disebelah suaminya. Dilihatnya kertas kerja dan fail yang menimbun di atas meja.

            “Kalau Nadya bosan ke, bukalah TV,” ujar Adam lagi dengan mata yang masih melekat pada kertas dan laptop.

            “Tak apalah, menganggu konsentrasi abang pulak nanti.”

            “Ish, mana ada. Abang tak kesahlah. Sebelum ni Nadya buka TV pun mana ada abang marah.”

            Adam terus mengambil alat kawalan jauh dan menekan punat ON. Terpampang drama Melayu bersiri lakonan Rafi Mohd Thaqif.

            “Wah, ni drama apa ni? Tak pernah tahu pun!” Nadya mengelip-ngelipkan mata melihat rakan lama yang sedang beraksi di layar televisyen itu.

            Adam menjeling. “Nadya suka Rafi lagi ke?”

            “Mana adalah. Nadya terkejut je sebab dah lama tak tengok drama dia. Tiba-tiba malam ni muncul pulak,” jelas Nadya jujur.

            Dia akui, memang lama dahulu dia mempunyai hubungan istimewa dengan pelakon dan penyanyi terkenal tanah air itu. Tapi itu cerita lama. Kini selepas dia berbahagia dengan Adam, Rafi juga sudah tidak muncul lagi dalam kehidupan mereka.

            Dan selepas bercerai dengan Hani, Rafi hidup membujang selama 2 tahun. Selepas itu dia berkenalan dan berkahwin dengan seorang pelakon wanita dan bahagia sehingga ke hari ini bersama seorang cahaya mata.

            “Abang gurau jelah. Abang tahu Nadya dengan Rafi pun dah tak contact sekarang, kan? Cuma itulah… hilang seorang pesaing, muncul pesaing baru pulak.”

            Nadya mengangkat sebelah kening seperti dapat menghidu sindiran dalam kata-kata suaminya.

            “Abang maksudkan Adrian, betul tak?”

            “Eh, abang tak sebut nama dia pun. Ke Nadya yang terfikir pasal dia?” Adam sengaja menjolok.

            Nadya tarik muka. Adam seperti sengaja hendak mengenakannya. Melihat wajah Nadya yang cemberut, Adam ketawa. Tangannya terus mendarat diatas tangan isterinya.

            “Gurau jelah, sejak bila isteri abang sensitif bebenor ni?”

            Nadya merengus kecil. Mana tidaknya, sejak Adrian muncul, setiap kali itu Adam akan cemburu atau menyindirnya. Dia tak suka. Agaknya lepas ni dia perlu tampal kertas di dahi bertulis ‘Nadya tak suka Adrian!’.

            “Abang gurau je, sayang. Abang tahu Nadya tak simpan apa-apa perasaan pada Adrian, tapi abang nak cakap sesuatu. Tentang tengah hari tadi.”

            Nada suara Adam bertukar sedikit serius. Dia meninggalkan kerjanya seketika dan memusingkan badan betul-betul menghadap isterinya.

            “Ingat tak apa Mak cik Azila cakap?”
            “Banyak yang dia cakap. Mana satu?”
            “Tentang Adrian. Mak cik suruh kita berkawan dengan Adrian.”
            “Kenapa? Abang tak nak ke?”

            Adam tersenyum. “Abang tak kesah, sayang. Lagipun, abang dah lama rindu nak tengok balik wajah seseorang yang mirip dengan arwah Hafiz. Bila tengok Adrian, abang rasa seolah-olah Hafiz ada dekat dengan abang…”

            Nadya diam, menunggu kata-kata Adam yang seterusnya. Adam menghela nafas perlahan sebelum menyambung kembali.

            “Tapi abang keberatan untuk benarkan Nadya berkawan dengan dia. Lelaki dan perempuan berkawan boleh timbul fitnah, tahu kan? Abang tahu abang tak alim, tapi sebagai seorang suami, dah memang tanggungjawab abang untuk melindungi Nadya, betul tak?”

           Nadya memandang Adam tanpa berkelip sambil otak cuba mencerna luahan suaminya sebentar tadi. Sebaris senyuman tercalit di bibir mungilnya.

            “Nadya faham. Kalau abang tak suka, Nadya tak kawan dengan Adrian. Janji!”

            “Thank you. Sayang isteri abang ni.”

            Dada Adam terasa sedikit lapang mendengar jaminan dari isterinya. Tubuhnya kembali dihalakan ke meja menghadap laptop untuk meneruskan kerja yang tergendala tadi.

            “Ni semua kerja-kerja dekat Wisma Putra dengan Yasmin pagi tadi ke?”

            Adam terkedu. Soalan spontan dari Nadya membuatkan dirinya teringat kembali apa yang berlaku sebelum waktu makan tengah hari siang tadi. Hati dan fikiran yang mulai sejuk kembali menggelegak saat terimbau kata-kata celupar Yasmin.

            “Hmm… untunglah Nadya tu, ya. Dia tak pernah lahirkan zuriat untuk you pun, tapi you sayang dan manjakan dia sepenuh hati.”

            Berdesing telinga dia mendengarnya. Siapa yang sanggup bersabar andai orang luar yang tiada kena-mengena berbicara seperti itu tentang isteri sendiri?

            Adakah dia patut membatalkan sahaja urus niaga ini? Tapi mana mungkin. Jika dia melakukannya, pasti dia terpaksa menjawab pelbagai persoalan dari ahli lembaga pengarah pula. Membatalkan sesuatu urusan bisnes kerana masalah peribadi adalah sesuatu yang tidak professional. Tetapi apa yang Yasmin katakan tentang dia dan isterinya juga adalah tidak professional.

            “Abang, dengar tak Nadya tanya tadi?” Suara Nadya membantutkan sel-sel otaknya yang sedang berhubung dikala itu.

            “Abang dengar.” Adam kembali mengawal emosi. “Sayang, boleh tolong buatkan abang hot chocolate? Tiba-tiba rasa dahaga pulak.” Tanpa menjawab soalan isterinya, dia melencong ke topik lain.

            “Boleh, tunggu kejap.” Nadya terus bangkit dari sofa.

            Adam mengeluh. Hanya anak matanya yang menuruti derap langkah Nadya yang sudah menghilang menuju ke dapur.

            Hilang fikiran tentang Adrian, timbul pula ingatan terhadap Yasmin. Sangkanya selepas bertahun-tahun tidak bertemu, wanita itu sudah berubah. Dan kerana itu dia berani mengambil risiko ini; mengadakan kerjasama dengan syarikat bekas teman wanitanya itu.

            Rupa-rupanya kali ini dia benar-benar sudah tersalah langkah!

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

Thursday, April 23, 2015

(CERPEN) Love is Totally Blind


“YEAH, I tahulah. Next two days ada show kat JB, right? Tak perlu ingatkan I,” ujar Ryan di corong telefon dengan gaya malas. Dia terus melabuhkan punggungnya ke katil bilik hotel itu. Sungguh tubuhnya terasa penat dan lesu setelah membuat persembahan nyanyian di atas pentas untuk konsert tertutup di sebuah hotel yang baru sahaja selesai pada malam ini.

            “I bukannya apa, I’m just doing my job. Remember Ryan, I am your manager. Kalau I tak ada, siapa yang nak uruskan schedule you?” ujar suara Mary di dalam talian pula, membalas kata-kata Ryan. Dia tahu Ryan memang tidak suka diingatkan tentang kerjanya. Professional lah konon, tapi selaku pengurus kepada artis itu dia mestilah buat kerja. Kang kata makan gaji buta pulak.

            Ryan mendengus dengan gaya malas.

            “Yelah, cik kak. Apa-apa jelah. I letih, tahu kan konsert malam ni dari pukul 9.00 tadi sampai sekarang pukul 12 tengah malam baru habis? I penat tau, esok nak kena fly back ke KL. You pun tidurlah, esok pulak kita sembang,” cetus Ryan kemudiannya.

            Mary berjeda dan angkat bahu. “Okeylah, I cakap esok. Daa...”

            Talian terus dimatikan. Ryan mengurut-urut dahinya lalu mencampakkan telefon bimbitnya itu di atas katil. Bahunya yang lenguh ditumbuk-tumbuk perlahan. Mana tak letihnya, malam ini dia mengerah seluruh tenaganya menari rancak diiringi penari-penari tambahan sambil menyanyi di atas pentas.

            Muhammad Rayyan Hariz, atau nama komersialnya Ryan. Siapa tak kenal dia? Artis terkenal tanah air yang baru menginjak ke umur 27 tahun ini. Dengan wajah kacukan Melayu-Inggeris, bertubuh tinggi lampai dengan kulit yang putih bersih. Segala aset sempurna sebagai lelaki yang dimilikinya menjadikan dia antara jejaka idaman gadis-gadis Malaya masa kini.

            Ryan yang baru ingin melelapkan mata sekali lagi merasa terganggu apabila telefon bimbitnya berdering nyaring. Dengan mata terpejam, tangannya meraba-raba mencari telefon bimbit.

            “Hello... you nak apa lagi ni, Mary? I’ve told you, cakap esoklah. Rimaslah I macam ni.” Panggilan dijawab tanpa melihat nombor pemanggil terlebih dahulu.

            “Ryan, I call you banyak kali tapi kenapa you tak angkat? You sengaja nak mengelak ke?” Suara wanita di corong telinga yang agak nyaring membuatkan Ryan tersentak sehingga terpaksa menjauhkan telefon daripada telinganya. Ingat aku ni pekak ke apa? Cakap slow-slow tak boleh?

            “Apahal you ni, Nita? Meroyan ke apa? Dah tengah malam ni...” Ryan cuba mengawal rasa yang terpendam. Dah lama dah dia sabar dengan si Nita sorang ni. Nasib baik muka lawa, kalau tidak aku dah humban dalam loji!

            “I tak kira! Tengah malam ke, tak tengah malam ke, yang you tak angkat masa I call kenapa?” Tinggi suara Nita mengajukan soalan itu.

            “Eh, you tahukan I sibuk? Sekarang pun I baru selesai kerja. I ada kat Terengganu sekarang ni. You tahu kan a few days before konsert I kena ada latihan? Menari sambil menyanyi atas pentas bukan benda senang tau? I penat, badan I dah sakit-sakit. I call you bila I dah free nanti,” ujar Ryan malas.

            “Tapi Ryan, I...” Belum pun sempat Nita menghabiskan ayatnya, Ryan terus mematikan talian. Huh, aman sikit telinga. Ingatkan lepas kerja boleh rehat. Ingat aku ni siapa nak kena dengar dia membebel. Tengok, aku pun dah membebel sama, Ryan menggerutu sendiri sambil meramas-ramas rambut.

            Nita adalah teman wanitanya. Atau dalam erti kata lain, trophy girlfriend yang tak lama lagi akan jadi trophy wife. Hmm... tapi dengan perangai tak semengah si Nita ni, rasa berbelah bahagi pulak nak buat bini.

            Sebagai artis yang serba kacak, tak sahlah kalau dia tidak didampingi oleh si gadis jelita seperti Nita. Ryan terkenal, kaya dan berjaya. Untuk menampakkan imej dirinya lebih berjaya, dia perlulah bergandingan dengan wanita yang terkenal, kaya dan berjaya juga.

            Nita anak tokeh balak dan dia menjadi pasangan gadis itu selama ini hanya kerana wajah jelita dan harta gadis itu. Bukanlah dia berniat mahu mengikis harta keluarga Nita. Keluarga dia sendiri pun dah kaya, cuma sebagai orang kaya dia merasakan dirinya layak didampingi oleh wanita kaya juga.

            Dan baginya Nita hanyalah satu trofi, satu benda supaya dia boleh berdiri megah di atas karpet merah jika ada majlis-majlis tertentu seperti Anugerah Bintang Popular, Anugerah Skrin dan sebagainya.

            Setahun sudah usia hubungannya dengan Nita dan kini dia mula terasa bosan. Bosan dengan sikap gadis itu yang terlalu suka mengongkongnya. Sedangkan bukan Nita tidak tahu kerjayanya sebagai selebriti membuatkan jadualnya begitu padat. Dia penyanyi, pelakon dan model sepenuh masa. Itu pun Nita tak faham-faham.

            Aku cari perempuan lain lagi bagus. Dapat Taylor Swift pun jadi, getus hati Ryan memujuk diri sendiri.

            Dia ingin melelapkan mata semula. Tak sampai beberapa minit, ada bunyi ketukan bertalu-talu di muka pintu bilik hotelnya.

            Ni yang aku nak mencarut dalam bahasa kuno kurun ke-16 nih! Tak paham bahasa ke apa? Aku penatlah s**l! pekik hati Ryan geram yang teramat.

            “Ada apa?” Ryan menyoal acuh tak acuh sebaik membuka pintu biliknya.

            Seorang gadis terus meluru masuk ke dalam biliknya dengan membawa beg pakaian. Ternganga Ryan dibuatnya.

            “Excuse me, what do you think you’re doing?” Mata Ryan memandang gadis itu atas bawah. Pakai baju kurung warna hijau + tudung bawal + selipar jepun = selekeh gila!

            “To... tolong saya encik... ada orang kejor saya...” rayu gadis itu menangis teresak-esak dengan loghat bahasa Terengganu yang agak pekat.

            Ryan mula mengerutkan muka. Apahal buat drama tengah-tengah malam ni? Aku letih gila nak mampos tau. Takkanlah malam-malam buta pun nak ajak aku berlakon?

            “Ni Wakenabeb ke apa?” soal Ryan. Matanya melihat ke kiri dan kanan ruang legar di luar biliknya. Mana tahu ada krew-krew yang buat segmen Wakenabeb kat dia. Maklumlah, kat Malaysia ada rancangan televisyen yang dikhaskan untuk mengenakan golongan artis.

            Tapi tilik punya tilik, tak ada orang pun. Jangankan krew filem, mak cik cleaner pun tak kelihatan.

            “Kau ni siapa?” Ryan masuk semula ke dalam biliknya.

            Gadis yang kecil molek itu mendongak, memandang wajah Ryan dengan air mata yang laju menuruni pipi.

            “Ada orang nok buat bende dok molek ke saya. Tolong saya, encik. Saya tak dop sesapa doh...” rayunya sayu.

            Ryan mengeluh. Ni yang aku menyampah kalau tengok perempuan nangis. Walaupun si Nita tu aku rasa macam nak sepak-sepak je, tapi perempuan ni... hmm...

            “Tolong tutup pintu, encik. Kejap je. Ada orang kejor saya,” pinta gadis itu lagi sambil mengesat mutiara jernih yang berbaki di matanya.

            Ryan dah buat kening double-jerk. Apa benda nak sembunyi-sembunyi dalam bilik aku ni? desisnya dengan tahap kepelikan yang dah tembus sampai langit ke tujuh.

            “Tolong, encik…”

            Dan entah kenapa, kasihan pula Ryan mendengarnya. Automatik tangannya menutup pintu bilik hotel.

            “Kau ada masalah ke? Kau tahukan kau tak boleh lama kat bilik aku? Aku tak nak kena tangkap basah!”

            Gadis tersebut diam sahaja. Ya, dia tahu perbuatannya ini salah. Dia tidak patut masuk ke dalam bilik hotel orang yang tidak dikenalinya. Lebih-lebih lagi bilik lelaki yang bukan mahramnya. Tapi…

            Tok! Tok! Tok!

            Ryan tersentak apabila pintu biliknya diketuk lagi.

            Gadis itu kelihatan panik dan segera mengengsot menjauhi pintu. Pandangan matanya yang jernih merenung Ryan dengan muka kesian, berharap agar Ryan tidak membalas ketukan tersebut.

            Ryan berbelah bahagi. Kasihan, tapi rasa curious lebih tinggi dari nilai human-being.

            Ryan melirikkan anak mata, memberi isyarat agar gadis itu bersembunyi didalam bilik air. Dan gadis tersebut terus melangkah pantas ke arah bilik air lalu mengunci pintu dari dalam.

            Nafasnya ditarik dalam-dalam sebelum tombol pintu dikuak.

            “Yup?” Ryan buat muka selamba memandang empat susuk tubuh lelaki yang tercegat di hadapannya.

            “Ada napok perempuan pakai baju kurung hijau lalu kat sini dok?” soal salah seorang daripadanya.

            “Tak ada, saya dok kat bilik je. Saya tak nampak apa-apa,” tukas Ryan kemudiannya walaupun dalam hati rasa semacam. Macam tidaknya, empat orang lelaki dihadapannya ini muka macam gangster Kampung Busut.

            “Aku dok caye! Takkan dia boleh hilang gitu je? Aku nok masuk tengok!” ujar salah seorang lelaki itu dengan muka membengis.

            Ryan buat riak sinis. “Kau ingat bilik aku ni supermarket ke kau sedap-sedap nak rempuh masuk? Bilik ni bilik aku, aku yang bayar. Tak baca polisi hotel ke apa? Aku boleh saman kau dibawah akta 789 kerana cuba menceroboh privasi orang lain!” Okey, itu akta yang baru beranak.

            Lelaki-lelaki itu buat muka kelat. Dengan hati yang membengkak mereka berlalu pergi begitu sahaja. Ryan cepat-cepat menutup pintu. Tarik nafas lega.

            Siapa diorang ni? Masalah rumah tangga ke apa? Tu lah… kahwin dengan gangster kenapa? cetus hati Ryan sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Ini kejadian pelik pertama yang dilaluinya sepanjang bergelar selebriti.

            “Keluarlah, diorang dah blah.”

            Mendengar bicara Ryan, gadis yang dari tadi bersembunyi didalam bilik air terus keluar. Dia sudah tidak menangis, namun wajahnya masih merah menahan sebak.

            Ryan mengeluh dan berdiri menghadap gadis tersebut yang kelihatan berusaha melarikan anak matanya daripada bertembung dengan anak mata Ryan. Dirinya masih terasa malu kerana terdesak meminta pertolongan daripada lelaki yang tidak dikenalinya.

            “Aku tak ada hak nak tahu apa masalah kau, tapi aku rasa tak elok kau ada kat bilik aku sekarang ni. Kau tunggu sini. Aku book bilik lain untuk kau.”

            Ryan ingin melangkah keluar namun gadis itu cepat-cepat menarik lengannya. Tersirap darah Ryan dibuatnya. Hei, aku ni artis terkenal Malaya tau. Berani perempuan kampung ni pegang-pegang aku? Sempat lagi Ryan mengutuk dalam hati. Maklumlah, dia kaya dan bergaya. Nampak orang pakai baju kurung terus dilabelnya perempuan kampung. Puih...

            “Saya... saya ikut encik boleh dok?” Gadis itu teragak-agak meluahkan rasa hatinya.

            “Ikut ke mana? Aku nak pergi book bilik untuk kau, kau duduklah sini dulu.”

            “Maksud saya, saya nok ikut encik balik rumoh encik. Saya dok kesoh, jadi orang gaji pung saya sanggup!”

            Mencerlung biji mata Ryan mendengarnya. “Hei, kau ni lebih-lebih pulak. Aku buat baik kau nak naik lemak ea? Kau ni stalker ek? Kau tahu aku ni Ryan, artis terkenal Malaysia. Pastu sesuka hati nak ikut aku balik rumah?”

            Gadis itu tampak terkedu. Ryan? Entah, dia tak kenal Ryan sebenarnya. Di rumahnya tak suka tengok TV dan dia jarang membaca surat khabar. Dan dia lari dari rumah kerana...

            “Kenapa tak nak jawab?” Suara keras Ryan mematikan lamunan pendeknya. “Aku rasa aku tarik balik. Aku tak boleh tolong kau. Tolong pergi dari sini!”

            Gadis tersebut menggeleng-geleng. Dia duduk melutut di kaki Ryan bersama esak tangisnya.

            “Encik, kesiankanlah kat saya. Saya tak dop orang lain doh. Saya tak dok niat jahat pung. Saya sumpoh, encik. Tolonglah saya. Saya tak dok rumoh, tak dok duit. Saya sanggup jadi orang gaji kat rumah encik. Dok dapat gaji pung takpe. Tolonglah saya, encik...”

            Ryan merengus. Ingin sahaja dia menghentak-hentak kepalanya ke dinding saat ini. Ni lah susahnya jadi lelaki berjiwa lembut. Pantang tengok orang nangis mesti cepat kesian.

            Walaupun semua orang tahu Ryan artis terkenal Malaysia yang berhidung tinggi, tapi satu sifat Ryan yang patut dipuji ialah dia suka bersedekah kepada orang-orang di tepi jalan dan rumah-rumah anak yatim. Kadang-kadang kalau tengah memandu, kalau ternampak orang OKU atau pengemis di tepi jalan pun sanggup dia berhenti dan memberi sejumlah wang kepada golongan terbabit.

            “Yelah, yelah! Aku boleh tolong, tapi jangan kata aku culik kau pulak. Malam ni duduk bilik lain, kang orang fikir apa pulak. Esok aku nak balik KL,” putus Ryan akhirnya.

            Gadis itu kelihatan gembira. Wajahnya mula mengukir secarik senyuman.

            “Terima kasih, encik. Terima kasih sangat-sangat. Saya janji akang jadi orang gaji yang paling berdedikasi kat rumoh encik nanti!”

            “Hmm...” Itu sahaja yang keluar dari mulut Ryan. Dia terpandang mukus yang meleleh keluar dari hidung gadis tersebut.

            “Eeeiii... apa tu? Kau ni pengotorlah! Kesat cepat!” arahnya dengan mimik muka yang menggelikan.

            Gadis itu terpinga-pinga. Cepat-cepat dia mengesat air mata dan hingusnya dengan lengan baju kurungnya.

            Seriau Ryan tengok. Pengotor!
            “Nama kau apa?”
            “Saya Nabila Humaira. Panggil saya Bella!”

            “Oh, okey. Aku pulak... umm... aku rasa aku tak payah introduce siapa aku kat kau. Kau pun mesti dah kenal aku kan? Tunggu sini, aku pergi book bilik!”

            Dengan gaya kereknya, Ryan terus melangkah keluar. Gadis yang membahasakan diri sebagai Bella itu menggaru-garu kepala. Amboi, terkenal sangat ke mamat bernama Ryan ni sampai dia nak cakap macam tu?

**************************************
Opss... ada yang bengang tak cerita ni tergantung sampai sini je? Hehe... jangan marah. Memang tak boleh siar sampai habis. Ini cuma sneak peak babak awal untuk cerpen Love is Totally Blind. 

Nak tahu apa yang terjadi seterusnya? Boleh dapatkan buku antologi himpunan cerpen & mini novel berjudul Melodi Cinta. Cerpen saya dihimpunkan bersama dengan 9 lagi novelis hebat (Zaraa Sofea, ArmisyaSyamira, Adah Hamidah, Qistina Alya, Tinta Biru, Umi Kalsom, E-man Sufi, Rehan Makhtar, Myra Ameer)

JANGAN LUPA DAPATKAN! ADIOS!!!