Puan Penulis




Followers

Official FB Group

Official Page

Muhammad Qayl Sufi

Lilypie Angel and Memorial tickers

Kutemui Cinta (2010)

Kutemui Cinta (2010)
klik gambar untuk beli on9

Abang Khai Tomboi (2011)

Abang Khai Tomboi (2011)
PM FP untuk pembelian

Amar Farish (2012)

Amar Farish (2012)
klik gambar untuk beli on9

Zikir Cinta (2014)

Zikir Cinta (2014)
klik gambar untuk beli on9

Melodi Cinta (2015)

Melodi Cinta (2015)
Himpunan cerpen & mini novel

KhaiRizal : A Love Story (2015)

KhaiRizal : A Love Story (2015)
klik gambar untuk beli on9

Kau Bidadariku...

Kau Bidadariku...
manuskrip yang akan diperam. takkan diterbitkan dalam masa terdekat

No Highlight. Left click + ctrl to open new tab

Tuan tanah kedaung

Assalamualaikum and hi. I'm Nuraqilah Syuhaida a.k.a E-la Adiey :)

Love pastel | Love cosmetics | Love clothes | Unicorn & Mermaid freaks

I'm just planning, putting faith in Allah SWT ;)

Thursday, December 27, 2012

Novel Amar Farish - sinopsis versi aku :P

.
assalamualaikum ^_^
haaa... novel Amar Farish dah keluar, so bolehlah cari di kedai2 buku berhampiran. *tiba2

okey,ramai kawan aku ckp, lepas baca novel ni, jalan ceritanya memang lain dari yang lain sebab ada unsur2 gangster+penyiasatan. Tapi diorang cakap sinopsisnya macam tipikal novel sgt. Benda yg selalu terjadi. Lelaki kaya, jumpa pompuan miskin. Kena kahwin paksa, memula x suka, pastu jatuh cinta.

Haha... okey, aku accept komen diorang sbg komen yang membina. Tp bila aku baca sinopsisnya pun, aku sendiri merasakan ianya terlalu tipikal mcm novel2 lain. Ini sinopsisnya:-
.
AMAR FARISH, anak angkat Dato’ Sharif dan Datin Aliah yang ditatang bagai minyak yang penuh. Rupa parasnya yang sempurna menjadikannya kegilaan para gadis. Dan dia bangga apabila semua gadis berada di bawah telunjuknya hinggalah dia bertemu dengan seorang gadis kampung bernama Zahra.

“Woi rumpai laut, apa pegang-pegang ni? Aku terajang kang!”

“Apa kau panggil aku tadi? Rumpai laut?”

“Memang itu gelaran yang paling tepat untuk kau. Mat salih celup tak sedar diri, bajet nak buat rambut mamat Korea. Macam rumpai laut je aku tengok!”

Kerana satu kesilapan, Farish dan Zahra telah disatukan. Pelbagai masalah menimpa apabila sepupunya, Eirfan Rudy turut memendam rasa terhadap Zahra. Farish yang masih mencari identiti sendiri, tidak dapat menerima kehadiran Tengku Kamal yang mengaku sebagai bapa kandungnya sekali gus mendedahkan rahsia hidupnya yang sebenar.


“Apa kaitannya dengan Ara? Kenapa abang macam nak hukum Ara dalam hal ni? Ara tak salah apa-apa, bang…. Ara tak buat apa-apa pun.” - Zahratul Jannah


“Awak nak tahu kenapa saya nak tinggalkan awak? Sebab mama dan papalah saya terpaksa kahwin dengan awak!” - Amar Farish

Disebabkan latar belakang dan harapan Tengku Kamal, Farish terpaksa mengambil satu keputusan yang akan merubah keseluruhan hidupnya. Namun, bagaimanakah kisah rumah tangga Farish dan Zahra? Adakah Farish akan meninggalkan segala-galanya dan menjadi seseorang yang baru? Amar Farish akan merungkaikan kemelut persoalan ini...

.
So selepas tolak, campur, darab, bahagi, aku decide nak buat sinopsis novel Amar Farish versi aku sendiri, supaya jalan ceritanya lebih jelas.


FARISH, anak angkat Dato’ Sharif dan Datin Aliah yang ditatang bagai minyak yang penuh. Dia selalu mendapat apa yang diinginkannya. Rupa parasnya yang sempurna menjadikannya kegilaan para gadis. Dan dia bangga apabila semua gadis berada di bawah telunjuknya hinggalah dia bertemu dengan gadis kampung, Zahra.

            Sangkanya gadis itu sama seperti perempuan kampung lain; lembut+ayu = lembu dicucuk hidung tapi memang dah jadi kisah dongenglah kalau Zahra berperangai macam tu. Zahra berani melawan, pantang dirinya dibuli dan tahap kelaser’an mulutnya membuat Farish tercabar. Barulah bertemu buku dengan ruas.

            Kerana satu kesilapan, Farish dan Zahra disatukan dalam terpaksa. Pelbagai masalah menimpa apabila Syazreen kembali muncul mengganggu hidup Farish. Dan Farish yang masih mencari identiti sendiri, tidak dapat menerima kehadiran Kamal yang mengaku sebagai bapa kandungnya. Dan dia lebih tidak dapat menerima apabila dia mengetahui Kamal sebenarnya penyeludup dadah yang selama ini menjadi buruan polis. Masalah datang bertimpa-timpa apabila Kamal bertindak mengugutnya pula. Dia mahu Farish mengikut jejaknya, menjadi seorang penjenayah!

            Bagaimanakah dengan rumah tangga Farish dan Zahra? Dapatkah Zahra menerima suaminya seorang anak penjenayah? Bagaimana pula caranya untuk mengusir Syazreen yang tidak henti-henti menganggu kehidupan mereka?

Wednesday, December 26, 2012

KhaiRizal : A Love Story 5

Sudah menjadi rutin Khai setiap pagi, selepas menghantar Adik yang kini menuntut di tahun 6, dia menghantar Khairizal ke tadika pula. Tugasnya sebagai isteri dan ibu semakin bertambah sejak 7 tahun yang lalu tapi sedikit pun dia tidak merasa terbeban, malahan seronok dengan kehidupan berumah tangga yang dimilikinya sekarang.

            Ada yang menganggap keluarga mereka terlalu selamba kerana Khai dan Rizal melayan anak-anak mereka seperti sahabat baik. Khai merasa dirinya sungguh beruntung kerana berkahwin dengan Rizal. Seorang suami yang kelakar, boleh jadi romantis kadang-kadang dan seorang bapa yang penyayang. Dia tidak dapat membayangkan apa yang akan terjadi pada dirinya jika dia kehilangan Rizal sekelip mata.

            Tambahan pula pekerjaan Rizal menjadikan keselamatan mereka sekeluarga sentiasa terancam dan boleh dikatakan ramai musuh. Tapi Alhamdulillah, sehingga kini keselamatan mereka masih terjamin. Mungkin satu keberkatan kerana setiap kali selepas solat mereka tidak pernah lupa memohon perlindungan dan kesejahteraan hidup.

            “Dah sampai, turun cepat. Ibu nak jumpa cikgu Keri kejap.” Khai mengambil beg sekolah Khairizal yang diletakkan di seat belakang.

            Khairizal mengerutkan muka sambil menggayakan rambutnya ala model iklan shampoo. “Alah ibu ni, tak macholah bawak mak pergi sekolah. Biar Keri mensetelkan problem Keri sebagai seorang lelaki matang yang berwibawa, okey bebeh?”

            Khai hampir tergelak tapi cepat-cepat dia menseriuskan diri sambil menepuk lembut mulut anaknya. “Hei, dari mana belajar cakap macam tu, hah? Lelaki matang konon, bersunat pun belum!”

            Khairizal buat muka selamba saja dibidas ibunya. Baru nak berlagak jadi orang besar dah kena kondem. Sia-sia je dia menghafal dialog drama bersiri yang dia sendiri tak tahu tajuknya.

            Khai terus keluar dari kereta dan menghantar anaknya sampai ke kelas. Khairizal duduk di mejanya sementara Khai memandang dari jauh sambil bercakap-cakap sesuatu dengan guru kelas.

            “Budak-budak biasalah, Puan Khairina. Kami tak ambil serius kes Khairizal tumbuk Helmi tempoh hari. Ibu Helmi pun mengaku anak dia kadang-kadang nakal jugak. Tapi saya kagum dengan Khairizal, dia tak malu berkawan dengan perempuan dan selalu melindungi kawan-kawannya daripada dibuli,”ujar Cikgu Zaitun.

            Khai tersenyum bangga. Mungkin sifat berani Khairizal itu mewarisi Rizal, suka berkhidmat dan menolong orang dalam kesusahan.

            “Entahlah cikgu, mungkin dia banyak sangat tengok video Police Story. Abahnya selalu pasang filem tu. Selalu bercakap macam orang tua, suka berhujah. Kadang-kadang pening saya dibuatnya,”balas Khai sambil ketawa.

            “Kanak-kanak yang sedang membesar memang macam tu. Dia suka memerhati apa orang dewasa suka buat. Tapi saya rasa itu sifat yang bagus. Mungkin suatu hari nanti dia boleh jadi polis, sama macam abahnya.”

            Tersenyum Khai mendengar kata-kata Puan Zaitun. Melihat Khairizal menjadi seorang polis satu hari nanti memang impiannya walaupun Rizal sendiri kurang bersetuju. Rizal tetap mahu Khairizal bekerja di IBSYA Holdings tapi rasanya hal itu masih terlalu awal untuk dibincangkan. Khairizal masih kecil, UPSR pun tak lepas lagi.

            “Khairizal tu anak sulung ke?” soal Puan Zaitun lagi.
            Khai tersenyum dan menggeleng. “Tak, anak keempat!”

            Puan Zaitun mengangguk-angguk. Khai nampak masih muda, tapi sudah ada 4 orang anak. Mesti kahwin awal, teka Puan Zaitun.

            Selama ini bila orang bertanya, Khai dan Rizal tidak pernah memberitahu Khairizal adalah anak sulung mereka. Along, Angah dan Adik juga adalah anak mereka. Mereka tidak pernah membezakan-bezakan kasih sayang dan tidak mahu sesiapa pun merasa tersisih.

            Pulang dari tadika, Khai singgah di sebuah pasaraya untuk membeli sedikit barang dapur. Ketika berjalan-jalan di pasaraya itu, dia singgah di sebuah kedai telefon. Terpegun seketika dia memandang keychain telefon yang tergantung di dalam kedai itu.

            Seutas keychain perak bertulis KR dipandang penuh asyik. KR? Tahu-tahu je, memang dia design untuk aku kut, bisik hati Khai sambil tersengih sendiri. Dia teringat ulangtahun perkahwinannya dengan Rizal yang bakal tiba beberapa minggu sahaja lagi. Memang setiap tahun mereka tidak pernah lupa untuk menyambutnya.

            Tanpa berfikir lagi, Khai terus membawa keychain tersebut ke kaunter untuk urusan pembayaran.

            “Keychain ni untuk siapa, cik? Untuk ibu ke? Hari ni kan Hari Ibu.” Lelaki yang menjaga kaunter menegur Khai, sengaja hendak memulakan perbualan. Terpesona betul dia dengan gadis comel yang datang ke kedai itu. Wajah ala-ala Korean, rambut tocang ekor kuda itu menambahkan lagi kecomelannya.

            Khai tersenyum. Lupa pula dia tentang Hari Ibu. Yalah, dia sudah lama kehilangan ibu sejak ibu bapanya bercerai dan ibunya meninggal dunia di Australia. Baginya, Hari Ibu sama saja seperti hari-hari biasa. Dia tetap perlu melakukan kerja-kerja rumah, tiada cuti untuk suri rumah tangga sepenuh masa sepertinya. Khairizal pun tidak pernah mengucapkan Selamat Hari Ibu kepadanya. Maklumlah, budak kecil belum faham tentang sambutan-sambutan begitu.

            “Taklah, untuk suami saya. Hari anniversary kami dah dekat.”

            Berubah wajah penjaga kaunter itu. Ingatkan anak dara lagi. Niat di hati nak mengayat terus terpadam. Usai membayar untuk harga keychain tersebut, Khai sempat tersenyum dan terus berlalu.

            Comelnya... bertuah suami dia, detik hati penjaga kaunter tersebut sambil menggaru-garu kepala yang tidak gatal.
****************
Tercengang Dato’ Awang. Matanya membulat tanda tidak percaya membaca waran yang dikeluarkan oleh mahkamah untuk menggeledah gudang dan kontena milik syarikatnya kerana disyaki mengeksport dadah secara haram ke luar negara.

            Rizal mengambil kembali waran tersebut dan dimasukkan ke dalam jaketnya. Dia hanya memandang Dato’ Awang yang dari tadi hanya terlopong di tempat duduknya. Biasalah, reaksi standard orang terkejut. Takkan nak ketawa sambil menarik zapin pulak.

            “Macam mana, Dato’? Boleh berikan kerjasama?” Soalan Rizal menyentak Dato’ Awang.

            Dato’ Awang lambat-lambat mengangguk. “Err...ya, boleh. Mari saya tunjukkan lokasi gudang.”

            Rizal mengangguk. Dia dan orang-orang bawahannya mengekori langkah Dato’ Awang. Dato’ Awang terpaksa menebalkan muka apabila para pekerjanya saling berbisik antara satu sama lain. Mungkin tertanya-tanya kenapa pihak polis datang ke pejabat hari ini.

            Atan... Atan... lebih baik kau jangan memalukan aku. Kalau polis jumpa sesuatu dalam gudang aku, siaplah kau! Dato’ Awang menggerutu dalam hati.

            Sebaik tiba di lokasi gudang yang dimaksudkan, pihak polis terus menjalankan tugas masing-masing. Rizal memeriksa setiap bekalan simen dan pasir serta kontena yang bakal dihantar ke pelabuhan untuk dieksport.

            Ternyata tiada langsung paket-paket dadah seperti yang dilaporkan seseorang tempoh hari. Rizal tahu ada yang tidak kena tapi dia tidak boleh menuduh AR Holdings tanpa bukti yang kukuh.

            “Maaf Dato’, kalau boleh saya tanya, siapa yang selalu uruskan penghantaran stok ke pelabuhan? Dato’ sendiri ke?” tanya Rizal.

            “Tak, anak saya Jantan, selaku Operation Manager. Tapi dia tak selalu ada kat sini. Awak nak jumpa dia ke?” Dato’ Awang menyoal kembali.

            Rizal terdiam seketika. Dia seperti pernah mendengar nama itu. Jantan... Jantan... dan nama bapanya Awang. Adakah...

            “Err... tak apa, tugas kami dah selesai. Kami dah periksa dan tak ada apa-apa yang mencurigakan. I’m sorry for taking your time, Dato’. Kami hanya menjalankan tugas.” Rizal cuba mengalihkan perhatiannya daripada terus memikirkan nama itu. Kalau terus fikir nanti tak pasal-pasal dia gelak pulak kerana nama itu yang sudah menyebabkan dia ketawa sampai isi perut terburai 7 tahun lepas.

            “Anyway, kalau ada sebarang maklumat boleh telefon Balai Polis Bukit Aman atau hubungi handphone saya. Ini nombornya.” Rizal menghulurkan sekeping kad kepada Dato’ Awang.

            Dato’ Awang mengangguk lega. Nasib baik polis tidak menemui apa-apa. Kalau tidak bukan setakat syarikat, malahan seluruh hidupnya akan musnah. Selepas bersalam dengan Rizal, Rizal terus mengarahkan orang-orang bawahannya pulang ke balai.

            Walaupun pihak polis sudah beredar, namun Dato’ Awang masih termenung sendiri di dalam gudang itu. Biarpun terlepas dari pihak polis, tapi dia masih yakin anaknya ada melakukan sesuatu hingga ada yang melaporkan syarikat mereka mengeksport dadah secara haram.

            Jantan, kau memang anak tak tau dek untung. Kalau aku jumpa kau, siaplah kau aku lenyek sampai lunyai! Giginya diketap menahan amarah yang teramat.

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

Wednesday, December 19, 2012

KhaiRizal : A Love Story 4

Pegawai polis, tidak kira lelaki atau perempuan masing-masing mengalihkan pandangan ke arah Fida yang baru melangkah ke kafe untuk bersarapan. Baru seminggu Fida bertugas di situ, sudah ramai pegawai polis malah ada pihak atasan yang cuba memikat hatinya.

            Yang lelaki terpukau dengan kecantikan Fida dan yang wanita cemburu dengan kecantikan itu. Fida bagaikan terlalu sempurna di mata setiap lelaki hingga ada polis wanita yang memusuhi Fida dalam diam.

            Apabila ada yang benar-benar berani mendekatinya dan menyatakan hasrat untuk berkenalan dengan lebih dekat, Fida berterus-terang tentang statusnya. Dia sudah bertunang dengan lelaki pilihan keluarga, seorang pensyarah UiTM.

            Mata Fida melilau memandang sekitar kafe itu. Dia sendiri tidak tahu apa yang dicarinya. Namun senyumannya terbit apabila ternampak Rizal sedang menikmati makanannya seorang diri di satu sudut. Niatnya untuk membeli kuih-muih dilupakan begitu sahaja. Kakinya pantas melangkah ke arah Rizal.

            “Hai, err...Rizal, tengah makan apa tu?” tanyanya agak malu-malu kucing Parsi. Dia tahu dia sudah dicintai ramai lelaki yang memuja kecantikannya tapi kini dia baru menemui seorang lelaki yang langsung tidak memandang apa yang dimilikinya. Sedikit pun tidak. Ada sesuatu yang ganjil mula terbit di hatinya.

            Rizal mengangkat muka. Ai...banyak sangat tengok cerita satu warnalah ni sampai rabun mata! Takkan dia tak nampak aku tengah melantak nasi lemak ni. Ke baru lepas eksiden? Manalah tahu ada mengalami gegaran otak sampai hilang ingatan hingga rupa bentuk nasi lemak pun dah tak kenal.

            “Hmm... nasi lemak je,” jawab Rizal acuh tak acuh. Tak jawab kang, kata sombong pulak.

            “Owh...” sahut Fida perlahan. Jantungnya berdegup kencang hingga dia kehilangan kata-kata. Dia hairan dengan dirinya sendiri. Punyalah ramai lelaki dalam dunia ini. Tunangnya juga boleh tahan, ada rupa ada kerjaya tapi suami orang yang satu ini juga yang berjaya menembusi pintu hatinya.

            “Err...Rizal, saya nak tanya pasal sindiket pengedaran dadah yang baru muncul tu. Ada apa-apa maklumat tentang siapa yang terlibat?”tanya Fida, hanya sebagai modal bicara.

            “Kan hari tu dah mesyuarat, Tuan Rashdan pun dah terangkan semuanya. Kenapa baru nak tanya sekarang? Awak buat apa masa tengah mesyuarat tu? Berangan?”

            Terasa bagaikan sebiji penumbuk melekat di muka Fida ketika itu. Haish, sekali lagi dapat malu tiga kilo didepan Rizal. Ketika mesyuarat dia hanya acuh tak acuh mendengar penerangan Tuan Rashdan kerana asyik sibuk pandang ke arah Rizal.

            Rizal cepat menghabiskan sarapannya dan terus pergi dari situ tanpa langsung memandang wajah Fida. Sebenarnya dia sendiri bingung dengan cara Fida memandangnya. Baru seminggu Fida bertugas di situ, dia perasan Fida selalu merenungnya, bahkan selalu cuba mencuri-curi pandang ke arahnya jika ada kesempatan dan dia tidak sukakannya. Huh, perangai macam psiko!

            Fida terpinga-pinga sendiri. Belum pernah dia tidak diacuhkan begini seumur hidupnya!
***************
Along sampai di IBSYA Holdings tepat jam 8 pagi. Namun dia tetap tidak sedap hati. Terasa dirinya diekori sejak dia keluar dari perkarangan rumah hingga ke pejabat. Dia tahu siapa punya kerja tapi apa boleh buat? Rizal tidak boleh tahu. Dia tahu Rizal sudah banyak menguruskan kes jenayah di balai.

            Tapi tak mungkin dia akan mengupah seorang bodyguard untuk menjaganya. Nanti Rizal kata dia buang tebiat pulak, bukannya VIP pun nak kena ada orang kawal.

            Along mengeluh sambil menekup muka ke meja. Dia benar-benar hilang mood. Dia rasa benar-benar menyesal pernah mengenali lelaki bernama Jantan bin Awang yang poyo dengan panggilan Ray itu.

            Nombor telefon bimbit Angah terus didail. Walaupun bilik Angah cuma beberapa meter dari biliknya tapi rasa malas pula hendak melangkah keluar. Alah, pengarah syarikat habis kredit beratus-ratus ringgit sehari tak ada hallah.

            “Hello, ada apa Along telefon ni? Ai...bilik dekat-dekat pun nak pakai telefon ke?” usik Angah yang baru hendak memulakan tugasnya.

            Along tersenyum hambar. “Angah, apa Along kena buat sekarang? Along rasa Ray tu pasang spylah. Along rasa macam ada orang ikut Along pergi kerja tadi.”

            “Ish, takkanlah kot. Psiko gila mamat tu. Desperated!”

            “Angah, tolonglah jangan jadi pengulas aja. Fikirlah cara nak selesaikan masalah ni.”

            “Hehe...sorry, habis tu nak suruh Angah buat apa? Suruh Angah belasah dia? Hello, Angah sekarang dah bertukar menjadi feminine, okey? Angah takkan bergusti dengan sesiapa lagi kecuali suami Angah.”

            Berkerut-kerut dahi Along. Dia ni nak melawak pulak. Aku smack down baru tahu.

            “Tak apalah Angah, thanks sudi dengar problem Along. Assalamualaikum.”

            Terus telefon ditutup. Argh, buang karan je. Baik aku tidur, getus hati Along dan terus meletakkan kepala di atas meja. Tak ada produktiviti seorang pengarah langsung.

            Angah tercengang-cengang. Rasanya masalah Along tidak boleh dipandang ringan. Walaupun dia sendiri tidak kenal siapa Ray tapi itu yang perlu membuatkan mereka lebih berhati-hati. Manalah tahu silap hari bulan Ray bertindak ganas.

            Setelah dicampur, tolak, darab dan bahagi, Angah akhirnya memutuskan. Rizal harus tahu juga tentang hal ini!
*************
“Woi!”

            Terkejut cimpanzi Rizal. Nasib baik tak terkentut. Teguran penuh ‘kesopanan’ tadi memaksanya memalingkan kepala. Siapa pulak yang bijak sangat berbudi bahasa ni? Kalaulah dekat tangannya ada pistol masa ni, dah tentu kepala pemanggil itu ditembak sampai bersepai tanpa kompromi. Malah surat-menyurat pun tidak akan dilayan.

            “Sejak bila aku tukar nama ni, Samdol? Sesedap rasa je main woi-woi dengan aku.” Rizal bercekak pinggang memandang Azman yang tersengih-sengih di belakangnya.

            Azman menepuk-nepuk bahunya. “Rilek...rilek...jangan marah-marah, nanti kena penyakit batuk di tepi tangga pulak. Awalnya kemas barang, dah nak balik ke?”

            “Yelah, dah nak baliklah ni. Dah lewat petang la, kau ni tak reti tengok jam ke? Takkan aku nak camping kat balai ni pulak.”

            Azman cuma ketawa. Dia kemudian berdiri di hadapan Rizal dan hanya memerhati sahabatnya itu mengemas barang. Semangat betul nak balik, mentang-mentang bini lawa.

            Serius, sebenarnya dia sendiri terkejut ‘lelaki’ yang diceritakan Rizal 7 tahun lepas itu sebenarnya Khai. Khai memang jambu, muka ala-ala Korean tapi tak sangka pula Khai tu sebenarnya cuma lelaki jadian. Selepas terbongkarnya jantina sebenar Khai, Azman sedikit lega kerana tahu Rizal normal. Kalau tak awal-awal dia dah minta ditukar bertugas di balai lain.

            Apa-apa pun, menjadi lelaki atau perempuan, Khai tetap nampak sempurna. Semasa dia tomboy, dia menjadi seorang lelaki yang kacak dan sekarang menjadi perempuan sejati sepenuhnya, begitu terserlah sekali kejelitaannya.

            Rambutnya sekarang sudah disimpan panjang sampai ke paras bahu. Azman rasa dia cuma pernah nampak Khai bertudung sekali sahaja, iaitu semasa hari raya 7 tahun lepas. Rizal sendiri tidak  mahu memaksa. Biarlah bila Khai benar-benar bersedia mahu bertudung ikhlas dari hatinya.

            Tapi tiba-tiba Azman tersedar sesuatu. Kenapa dia terfikirkan Khai pulak? Otak masuk air agaknya, tak ada kerja dok fikirkan bini orang. Cari bini sendiri tak nak. Sampai sekarang jadi bujang lapok.

            “Wei Riz, kau dah kenal dengan budak baru tu? Tak silap aku nama dia Fida, dia masuk team kita untuk handle kes kumpulan Sharks yang Tuan Rashdan bagitahu hari tu,” ujar Azman mengalihkan topik. Kalaulah Rizal tahu member sendiri berangankan isterinya, mampus kena cekik sampai lembik.

            “Hmm...aku tahu,” balas Rizal perlahan tanpa memandang Azman.

            “Err... aku tak tahulah sama ada cuma aku yang perasan atau orang lain nampak jugak. Si Fida tu suka tenung kaulah.”

            Tangan Rizal yang mengemas fail-fail di atas meja kaku seketika. Dia mengalihkan pandangan ke arah kawannya yang sewel itu. Azman berundur sedikit. Takut tiba-tiba Rizal bertukar jadi manusia hijau. Mood Rizal susah sikit hendak diduga.

            “Apasal pulak kau tengok aku macam tu? Marah ke?” Azman menyoal. Rasa kecut sikit.

            Rizal menggeleng. “Tak ada, aku ingat aku sorang je perasan.”

            “So maknanya selama ni kau tahulah minah tu suka tengok kau?” Azman sedikit kaget.

            “Habis tu aku nak buat apa? Bukannya ada akta orang lain tak boleh pandang kita. Biarkan ajelah.”

            “Hehe... untunglah kau ya, Rizal. Dah kahwin pun ada peminat lagi.”

            Rizal mencemik. “Alah, bukannya aku heran pun. Kalau Megan Fox yang minat aku rasa excitedlah jugak.”

            “Ceh Megan Fox konon, Oprah Winfrey pun belum tentu nakkan kau,” sindir Azman menjuihkan bibir.

            Rizal tersengih nakal.

            “Eh, tapi betul ke kau tak heran? Si Fida tu cun jugak, anak mat saleh tu.” Azman menjolok.

            “Eleh, dah kalau cun sangat kau ngoratlah dia, apasal bagitahu aku pulak. Kalau aku kena sembelih dengan bini aku, aku pastikan kau kena sekali, nak?” Rizal sudah mengangkat tangan, mengacah-acah ingin memukul Azman tapi pantas Azman melindungi kepalanya.

            “Eh, eh, rileklah, aku gurau je. Gelabah pulak.” Tangan Rizal ditepis. “Aku nak tanya ni, kau dah dapat maklumat tentang siapa dalang kumpulan Sharks.”

            “Mmm...sebenarnya aku tak berapa yakin tapi rasanya tak salah kalau aku syak. Dalam beberapa hari ni masa aku buat penyiasatan, ada beberapa sumber cakap dadah tu datangnya dari sebuah syarikat yang membekalkan bahan-bahan binaan bangunan, AR Holdings. Tapi yang menghairankan, kalau dia dah ada sebuah syarikat besar, kenapa masih buat perniagaan secara haram? Dan lagi satu, dia eksport bahan-bahan untuk buat bangunan, apa relevannya dengan dadah?”

            Azman terdiam sebentar mendengar kata-kata Rizal. Masuk dek akal juga tapi mungkin Rizal terlupa satu perkara.

            “Rizal, aku rasa tak ada yang mustahil dalam dunia ni. Manusia akhir zaman, semuanya gila harta. Mungkin bila buat secara haram, keuntungan diorang berlipat kali ganda. Lagipun tak ada yang mustahil. Kau ingat lagi kes Dato’ Rashid, kan?”

            Rizal kehilangan kata-kata. Betul juga. Sedangkan ayah mentuanya, Dato’ Rashid yang mempunyai sebuah syarikat perubatan yang berjaya pun boleh terlibat dengan aktiviti jenayah. Dia ingat lagi, tidak sampai setengah tahun Dato’ Rashid meringkuk di dalam penjara dan mahkamah pun belum memutuskan sebarang hukuman ke atasnya, Dato’ Rashid sudah meninggal dunia akibat serangan jantung. Manusia... manusia... tapi kalau semua manusia baik tak wujud pulak jawatan polis ni.

            “Tak tahulah, Man. Lagipun siasatan masih di peringkat awal. Kalau ada bukti yang sahih, kita terpaksa dapatkan waran mahkamah untuk periksa gudang dan kontena syarikat tu,”ujar Rizal perlahan.

            Azman sekadar mengangguk. Penjelasan Rizal membantutkan terus sel-sel otaknya yang sedang berhubung di kala itu.

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

Saturday, December 15, 2012

KhaiRizal : A Love Story 3

Pucat lesi muka Along seolah-olah melihat jenglot buat muka cute dihadapannya. Sedangkan jenglot mana boleh jadi cute. Kakinya yang baru ingin melangkah masuk ke dalam kereta kaku tiba-tiba.

            “Hai Ari, lama tak nampak you. You makin cantik sekarang,” tegur Ray sambil tersenyum.

            Ray rasa perasaan sabarnya sudah hilang. Hampir sebulan dia cuba menghubungi Along tapi Along asyik dengan alasannya: Meeting! Meeting! Meeting! Telefon tengah-tengah malam pun kata meeting. Masuk dek akal ke bagi alasan bangang macam tu? Lain kali bagilah alasan pergi supermarket ke, honeymoon ke, logiklah jugak.

            “You nak apa, Ray? Dah lewat petang ni, I kena balik sekarang,” ujar Along menahan gelisah sambil merenung jam tangannya yang kini menunjukkan hampir pukul 6 petang.

            Siapa tak takut tengok muka Ray sekarang? Ray jauh berbeza 7 tahun lepas dengan sekarang. Dulu mukanya tetap hodoh macam balang biskut bak kata Rizal, tapi sekarang rupanya mengalahkan pendatang tanpa izin dari Afrika. Sungguh kusut masai dan tidak terurus. Mana perginya Ray yang dulu kononnya jejaka kegilaan di universiti?

            “Hei, yang you menggelabah sangat ni apasal? I cuma nak berkawan dengan you. Lagipun I tak sempat mintak maaf atas apa yang I dah buat pada you dulu,” balas Ray sambil menunjukkan giginya yang macam durian belanda itu.

            “Apa-apa hal kita cakap kemudian. I kena balik sekarang, nanti pak su I marah.” Along asyik melarikan anak matanya dari merenung muka Ray. Mak cik kantin pun takkan sudi merenung muka seburuk itu.

            Ray tertawa halus. “Come on, Ari. Takkanlah dah besar panjang you masih takutkan pak su you? Apa kata kita pergi minum dulu?”

            Along meneguk liur. Tak boleh jadi. Habislah kalau aku termasuk perangkap tempeyek hanyut ni.

            “Eh, I kata tak boleh maknanya tak bolehlah! You ni tak faham bahasa ke?” Pantas Along menghamburkan kata-kata yang tadi cuma terpendam di hatinya. Sebenarnya dia sendiri berani-berani takut.

            Selepas menghabiskan kata-kata itu, Along terus melompat masuk ke dalam kereta dan memecut pergi dari situ. Tinggallah Ray terkontang-kanting makan asap.

            Ray menyeluk poket seluar. Kau sombong dengan aku sekarang ya, Ari? Tak apa, aku tahu kau tak kisah kalau aku buat jahat pada kau, kan? Tapi macam mana kalau aku porak perandakan keluarga pak su kau? Cerita ni akan jadi lebih seronok, yeay!!!
***************
            Khai menatang sejag air oren segar bersama sepinggan pisang goreng panas ke halaman rumah untuk minum petang. Hari ini istimewa sikit sebab Angah dan suaminya datang menziarahi mereka.

            Boleh dibilang dengan jari berapa kali Angah datang menjengah rumah itu sejak berumah tangga dengan akauntan syarikat sendiri 6 bulan lepas. Maklumlah, Angah sekarang semakin sibuk kerana Angah sudah berkahwin dan bakal mempunyai keluarga sendiri. Memang menghairankan kerana gadis seganasnya mendirikan rumah tangga secepat itu sedangkan Along masih membujang sampai sekarang.

            “Makan ni, panas lagi. Aunty baru goreng tadi,”pelawa Khai ramah kepada Saiful, suami Angah. Walaupun usianya tidak jauh beza dengan Saiful, tapi nak tak nak terpaksa juga dia membahasakan diri sebagai aunty kerana Saiful berkahwin dengan anak saudaranya.

            “Abang Khai, dapat mana pisang ni? Rembat kat kebun getah Kak Limah ke?” tanya Angah dalam nada bergurau.

            Abang Khai. Ya, walaupun 7 tahun lalu Khai menyuruh anak-anak saudaranya memanggilnya dengan panggilan ibu tapi tidak sampai sebulan mereka tetap memanggil Khai dengan panggilan Abang Khai kerana panggilan itu sudah serasi dengan lidah mereka dari kecil. Dah tua baru nak ubah memang takkan berhasil. Last-last Khai biarkan aja, asal tak panggil kambing sudah.


Along, Angah dan Adik sudah lama dibela oleh Khai dan Rizal iaitu sejak ibu bapa mereka, Razlan dan Khairiah meninggal dunia ketika Adik masih lagi berusia lima tahun. Rizal merupakan adik kepada arwah Razlan dan Khai pula adalah adik kepada arwah Khairiah. Kerana tanggungjawab menjaga anak-anak saudara bersama, perasaan cinta mulai bercambah diantara Khai dan Rizal.

            Khai yang dulunya tomboy dan tidak ubah seperti lelaki menyebabkan Rizal menyangkakan dirinya seorang gay kerana menyukai Khai dalam diam. Entah kenapa, Rizal tertarik dengan gaya Khai yang sempoi dan kasar seperti lelaki, tapi dalam masa yang sama bersifat keibuan. Mujur setelah mengetahui jantina sebenar Khai, Rizal mampu menarik nafas lega kerana dia bukanlah gay seperti yang disangkakan.


            Dan daripada hubungan persahabatan, kedua-duanya melangkah ke alam perkahwinan sehingga kini dikurniakan seorang anak lelaki diberi nama Khairizal.

            Kadang-kadang Khairizal sendiri konfius ibunya itu sebenarnya lelaki atau perempuan. Dia tidak tahu ibunya itu dulu merupakan seorang gadis tomboy ketika zaman bujangnya. Dengan rambut pendek, ketinggian dan gaya maskulinnya, kebanyakan orang terkeliru tentang jantinanya termasuk Rizal sendiri. Nasib baik setelah bergelar isteri Khai sudah berjinak-jinak membela rambut panjang.

            “Kebun getah Kak Limah dah tak relevan sekarang sejak munculnya filem Hantu Kak Limah Balik Rumah. Abang Khai lagi suka filem tu dari kebun getah Kak Limah yang penuh dengan cik ponti. Abang Khai dapat pisang ni atas ihsan beberapa ekor beruk yang bergayut belakang rumah ni,”cerita Khai dengan lubang hidungnya sengaja dikembangkan. Padahal dia beli pisang tu dekat supermarket.

            Angah mencebik. Macamlah dia percaya dengan otak masuk air ibu saudaranya itu.

            “Hmm...tengok Angah sekarang happy dengan husband, abah tiba-tiba teringatkan Along. Kenapa lambat sangat jumpa pasangan ideal?” sampuk Rizal.

            Angah ketawa. “Ala abah, apa susah? Suruh je Along cari yang dekat-dekat sini. Senang sikit nak ngorat, nak balik Raya Haji ke, Hari Gawai ke senang sikit sebab dekat, kan? Kalau kahwin dengan hero cerita Titanic memang susahla nak balik raya, kena pergi Hollywood dulu... hahaha...”

            “Betul jugak, kalau dah terdesak sangat pergi je Giant ke, Jusco ke, buat announcement sesiapa yang masih single pergi ke kaunter. Lepas tu pilih dan menang ar...wakakaka!!” usul Rizal pula lalu dia dan Angah ketawa terbahak-bahak dengan lawak tak kelakar mereka.

            Khai yang dari tadi hanya menjadi pendengar turut ketawa. Kalau tak ketawa nanti dia dianggap kera sumbang walaupun suaranya lebih enak dari Enrique Iglesias. Saiful pula hanya tersenyum. Memang jarang tengok dia ni ketawa. Jenis cool kot. Tapi dalam hati dia tergeleng-geleng. Bapak saudara dengan anak saudara sama je perangai.

            Tawa mereka hanya terhenti apabila kereta Along memasuki perkarangan rumah. Memandangkan pintu pagar terbuka dengan luasnya maka kereta Along dengan selamba gajahnya boleh terus masuk tanpa menekan remote control terlebih dahulu.

            Along keluar dari kereta dengan wajah sugul. Biasalah, penat baru balik dari ofis. Kalau balik funfair lain pulak ceritanya.

            “Along, mari minum petang sekali. Angah dengan Saiful datang ni,”pelawa Rizal.

            Along tersenyum nipis. Dia melangkah menghampiri mereka dan bersalam dengan Khai dan Rizal, itu rutinnya setiap kali pergi dan balik dari pejabat.

            “Tak apalah abah, Abang Khai, Along nak naik mandilah. Melekit badan ni. Angah, Saiful, Along naik dulu.”

            Masing-masing tidak memberi respons sebaik Along masuk ke dalam rumah. Tak hairan pun kalau Along tak rasa excited Angah datang ke rumah sebab hari-hari pun dia jumpa Angah di pejabat.

            “Tak apalah, Along letih agaknya. Makan-makan, jangan malu jangan segan.” Khai cuba mengembalikan suasana ceria tadi.

            Angah cuba tersenyum. Rasanya dia tahu kenapa Along murung sejak akhir-akhir ini. Jantan bin Awang! Tapi dia sudah berjanji dengan Along tidak memberitahu rahsia ini kepada sesiapa.

            “Eh Abang Khai, Adik dengan Keri mana pergi, hah? Tak nampak pun dari tadi?” soal Angah tiba-tiba.

            “Oh, Adik pergi teman Keri main dengan kawan dia. Keri tu bukan boleh kira, kalau dilepas sorang-sorang habis dibelasahnya budak-budak lelaki kat situ. Nak tunjuk hero konon, sebijik macam abahnya,” jawab Khai sambil menjeling ke arah Rizal yang sedang lahap mengunyah pisang goreng.

            Rizal yang menyedari sindiran isterinya menjawab, “Eh, habis tu siapa yang ajar dia pegang lastik? Konon nak tajamkan daya penglihatan supaya besar nanti tak kekok pegang pistol. Abang nak dia kerja kat IBSYA Holdings, Rina nak dia jadi polis. Itu idea siapa?”

            Khai mencebik sambil menampar bahu suaminya. “Inspektor Gadget, itu saya nak latih otak dialah. Bukan macam abang, asyik ajar si Keri tu tumbuk punch bag, sampai anak orang pun dibelasahnya!”

            Ketawa Angah dan Saiful melihat gelagat suami isteri itu. Hari-hari gaduh hendak mempertahankan pendapat masing-masing. Tapi tak apa, gaduh-gaduh sayang.

            “Abang Khai! Abah!” Tiba-tiba kedengaran suara nyaring Adik berlari masuk ke dalam perkarangan rumah sambil memegang anak patung Barbienya. Adik termengah-mengah mengambil nafas kerana berlari sejauh 150 meter tanpa berganti-ganti tadi.

            “Kenapa Adik?” Rizal menyoal.

            “Abah, Abang Khai, tolong tengok Keri tu. Dia pecahkan cermin tingkap Mak Piah Ketupat!” adu Adik.

            Masing-masing ternganga. Dah sampai ke tahap merosakkan harta benda orang, tak boleh jadi ni!
*******************

           Apaku kesah?
            Kau mainkan rasa kau punca segala
            Kau takkan berubah
            Apaku kesah?
            Diriku berdiri relaku sendiri
            Tak lagi peduli
            Apaku kesah?

            Nyaring suara Khairizal menyanyi lagu One Nation Emcees, Apaku Kesah di dalam tandas sambil mengetuk-ngetuk pintu tandas. Kebiasaannya ibu bapanya tidak ambil kisah kalau dia melakukan kesalahan kecil tapi apabila dia dikurung di dalam jamban, faham-faham sendirilah dia sudah melakukan kesalahan yang membuatkan kepala ibu bapanya berasap hari ini.

            Khairizal sudah lali dikurung dalam jamban untuk beberapa jam tapi dia tidak pernah menangis, sebaliknya menyanyi dengan lantangnya untuk menghilangkan kebosanan melampau. Siap ketuk-ketuk baldi, berangan jadi pemain drum kumpulan Bunkface.

            Khai memandang jarum jam dinding yang sudah menunjukkan pukul 10.30 malam, kemudian mengalihkan pandangan kepada Rizal pula yang dari tadi leka membaca komik di sebelahnya.

            “Bang, bila abang nak lepaskan Keri ni? Dari petang tadi dia duduk dalam jamban tu tak keluar-keluar,”ujar Khai tak puas hati.

            “Tunggulah sejam lagi...”sahut Rizal perlahan tanpa menoleh ke arah isterinya. Baginya dia tidak salah kerana menjatuhkan hukuman seperti itu kepada Khairizal.

            Yalah, siapa tak bengang kalau anak sendiri dah pandai merosakkan harta orang lain? Menurut cerita Adik, Khairizal leka bermain lastik botol dengan kawan-kawannya hingga tidak sengaja terlastik cermin tingkap rumah Mak Piah Ketupat. Rizal dan Khai juga yang terpaksa menebalkan muka meminta maaf kepada orang tua itu.

            Rizal selalu berpesan kepada Khairizal agar tidak mencari masalah dengan orang tua bermulut rebeh itu tapi ibarat mencurah air teh ke daun keladi bunting, Khairizal tak pernah nak dengar.

            Adapun gelaran Mak Piah Ketupat bukan sebab dia pandai menganyam ketupat atau menjual ketupat, tapi sebab mulut becoknya yang tak tahu berhenti mengumpat hal orang lain. Pantang orang buat salah sikit habis dihebohnya dari rumah ke rumah. Esok-esok mesti timbul pula cerita tentang Khairizal, anak Inspektor Rizal memecahkan cermin tingkap rumahnya.

            “Bang, timbang rasalah sikit. Nak suruh Keri duduk dalam tu berapa jam? Dia tak mandi, tak makan dari petang tadi lagi, tau tak? Sakit perut nanti macam mana?” soal Khai bertalu-talu. Bengang betul Rizal langsung tidak mengendahkannya. Rizal lebih ambil berat tentang komik Shin Channya daripada ambil berat tentang anak sendiri.

            “Ala biarkan ajelah. Ada ke dia menangis mengamuk? Tak ada, kan? Ingat sikit, dia Khairizal anak Inspektor Rizal Syafiqin, tak pernah takut pada apa pun,” sela Rizal dengan penuh perasaan riak serta takbur. Janganlah contohi si Rizal ni ya? Tak bagus untuk kesihatan.

            Khai menarik muncung. Terus dia masuk ke dalam selimut dan berbaring membelakangi suaminya tanda protes. Bacalah komik Shin Chan tu puas-puas. Bini kat sebelah dibuatnya macam badut sarkis.

            Rizal berpaling memandang isterinya. Ni yang susahnya bila Khai dah tarik muncung 16 hasta. Salah ke mendidik anak sendiri? Bukan dia mendera pun, padahal tubuh Khairizal tidak pernah sekali pun dijentiknya selama ini.

            “Rina, tak baik tidur membelakangi suami. Pandang abang ni.” Lengan Khai cuba dipegang tapi pantas Khai mengelak. Dia akan terus protes selagi Khairizal tidak dikeluarkan dari jamban.

            Rizal tersenyum dan tergeleng-geleng. “Okey, abang akan keluarkan Keri sekarang.”

            Ketika itulah baru Khai berpaling memandang suaminya dengan senyuman lebar ala-ala The Joker.

            “Tapi ada syarat!”
            “Apa pulak?”
            “Kiss abang cepat.”

            “Eii...gatal!” Pantas Khai menolak pipi Rizal yang disuakan kepadanya. Bukan tak nak tapi malu. Jarang pulak Rizal minta dimanja-manja begini. Sebab itu dia terasa canggung.

            Rizal tergelak. “Okey, okey, tak apa. Biar Keri tidur dalam jamban malam ni!”

            Khai mencebik. Dengan rasa hati seperti seekor gajah laut, dia menghadiahkan juga satu ciuman di pipi Rizal. Kalau tak cium nanti anaknya yang tidur beraroma Indah Water.

            Khai mengalihkan wajahnya yang terasa panas. Dia tidak mahu Rizal merenung wajahnya yang sedang merah itu. Dia sendiri tidak pasti sama ada dia suka atau tidak romantik dengan Rizal tapi bohonglah kalau dia cakap tak suka dibelai suami sendiri.

            Rizal tersenyum. Dah agak pun, Khai memang tak boleh bertahan dalam suasana romantik. Mukanya akan jadi merah macam nak meletup. Dia terus bangun dari katil dan keluar untuk membebaskan Khairizal dari ‘tahanan sementara’.

            Semasa pintu jamban di buka, Khairizal masih lagi menyanyi sambil menjadikan batang paip sebagai mikrofon. Apabila melihat muka abahnya, Khairizal terus menyanyi malah semakin lantang.

            Rizal rasa macam nak hempuk kepala sendiri di dinding. Dendalah macam mana pun, Khairizal tak pernah serik. Khairizal tak pernah takut. Ikut perangai siapalah agaknya. Dalam otak ada monyet agaknya.

            “Kenapa, abah? Room service ke?” Khairizal berloyar buruk.

            “Eii...budak ni, abah suruh pumping sampai subuh kang baru tahu. Keluar sekarang, pergi mandi lepas tu tidur!”arah Rizal dengan suara dibuat-buat tegas.

            Khairizal tersengih-sengih. Dia tahu pasti ibunya yang melepaskannya. Anak kesayanganlah katakan.

            “Apa sengih-sengih lagi?” Suara Rizal menyentak angan Khairizal.
            “Hehe...abah ni janganlah garang sangat, nanti ibu lari macam mana?”

            “Kau ni mulut mengalahkan orang tua. Nampak ni?” Rizal baru mengangkat tangan dengan tujuan hendak mengugut. Tak sampai sesaat Khairizal sudah hilang dari pandangan.

            Huh, tau takut!

p/s: untuk sebarang update dan teaser novel, boleh request group dekat SINI ya ;)

Thursday, December 13, 2012

Amar Farish nak terbit sudah! :))


.
Assalamualaikum :) haha... x pernah aku post apa2 selain novel bersiri kat blog ni. So entry kali ni aku just nak inform yang novel online aku berjudul Amar Farish akan keluar bulan 12 ni.

So novel ni bolehlah dapatkan dikedai-kedai buku berhampiran. Nak beli secara online pun boleh gak. Kalau nak tahu cerita dia mcm mana, baca je bab2 awal yang aku dah post kat blog nih.

Kalau nak beli dgn aku pun boleh gak. Tp bukan dlm masa terdekat ni lah sebab aku pun tak dapat lagi salinan novel tu. Kalau berminat sila2 la e-mail aku kat nuraqilahsyuhaidah@gmail.com. Kalau beli dgn aku, aku akan sertakan autograf skali walaupun aku tau autograf aku buruk. Hahahaha... maklumla, aku tak pernah berlatih macam mana cara nak wat autograf. Kbai :P

Tajuk: Amar Farish
Penulis: Nuraqilah Syuhaida
Harga: RM26.00sm / RM29.00ss

Penerbit : Penulisan2u

Sinopsis:

AMAR FARISH, anak angkat Dato’ Sharif dan Datin Aliah yang ditatang bagai minyak yang penuh. Rupa parasnya yang sempurna menjadikannya kegilaan para gadis. Dan dia bangga apabila semua gadis berada di bawah telunjuknya hinggalah dia bertemu dengan seorang gadis kampung bernama Zahra.

“Woi rumpai laut, apa pegang-pegang
ni? Aku terajang kang!”

“Apa kau panggil aku tadi? Rumpai laut?”

“Memang itu gelaran yang paling tepat untuk kau. Mat salih celup tak sedar diri, bajet nak buat rambut mamat Korea. Macam rumpai laut je aku tengok!”

Kerana satu kesilapan, Farish dan Zahra telah disatukan. Pelbagai masalah menimpa apabila sepupunya, Eirfan Rudy turut memendam rasa terhadap Zahra. Farish yang masih mencari identiti sendiri, tidak dapat menerima kehadiran Tengku Kamal yang mengaku sebagai bapa kandungnya sekali gus mendedahkan rahsia hidupnya yang sebenar.


“Apa kaitannya dengan Ara? Kenapa abang macam nak hukum Ara dalam hal ni? Ara tak salah apa-apa, bang…. Ara tak buat apa-apa pun.” - Zahratul Jannah


“Awak nak tahu kenapa saya nak tinggalkan awak? Sebab mama dan papalah saya terpaksa kahwin dengan awak!” - Amar Farish

Disebabkan latar belakang dan harapan Tengku Kamal, Farish terpaksa mengambil satu keputusan yang akan merubah keseluruhan hidupnya. Namun, bagaimanakah kisah rumah tangga Farish dan Zahra? Adakah Farish akan meninggalkan segala-galanya dan menjadi seseorang yang baru? Amar Farish akan merungkaikan kemelut persoalan ini